Anwar tolak langkah popular ‘tebuk’ KWSP, utamakan dana persaraan

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak akan mengambil langkah popular dengan membenarkan tabungan persaraan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ‘ditebuk’.

Perdana Menteri menjelaskan pendiriannya tiga tahun lalu ketika masih menjadi ketua pembangkang agar pengeluaran tabungan itu dibenarkan memandangkan ramai hilang kerja dan punca pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sangat panjang.

Namun kata beliau keadaan sekarang berbeza di mana ekonomi negara mula memulih dengan lebih 80 peratus rakyat sudah mendapat pekerjaan mereka semula.

“Lepas PKP paling panjang, orang tak ada kerja sebab itu saya mendesak dikeluarkan KWSP sebab mereka tengah tak ada wang, tak ada kerja. Walaupun (desakan keluar KWSP) bercanggah dengan badan itu.

“Sekarang keadaan ekonomi terbuka. Yang tak ada kerja dulu, 80 peratus dah bekerja. Sebab itu negara yang benarkan KWSP, sekarang semua menghentikannya. Prinsip ini kena jelas. Kalau buka, ada kesan pada dana pelaburan negara,” katanya dalam sesi Temu Anwar di KLCC petang semalam.

Menteri Kewangan juga menegaskan pendiriannya tidak akan membenarkan pencarum dengan simpanan kurang dari RM10,000 mengeluarkan lagi simpanan mereka.

Beliau tidak akan mengendahkan desakan pembangkang dan mengambil langkah popular kerana mencari penyelesaian adalah lebih utama dari membenarkan wang persaraan terus ditebuk.

“Ada 75 peratus (pencarum) punyai dana RM10,000 ke bawah. Pencen nanti anak isteri nak makan apa sebab itu saya buat keputusan bagi RM500 seorang supaya tabung naik sikit.

“Apa pembangkang kata? PM bodoh. Eh dengar sikit. Yang saya bagi untuk orang miskin. Ia untuk hari bersara esok,” katanya.