Konsortium syarikat monopoli projek selenggara jalan raya

Hassan Karim (Pasir Gudang-PH) mendakwa terdapat konsortium syarikat sering memonopoli projek selenggara dan naiktaraf jalan raya di beberapa negeri khususnya di Johor. Ini menurutnya adalah amalan tidak sihat dan perlu dihentikan dengan segera agar peluang yang adil boleh diberikan kepada syarikat lain.

“Soalnya adakah pemantauan dijalankan? Saya merujuk umpamanya di Pasir Gudang. Adakah kementerian berpuas hati dengan kontraktor yang menjalankan kerja yang selenggarakan jalan raya ini?

“Saya ingin menegur satu keadaan kurang sihat di mana hanya syarikat-syarikat konsortium sahaja yang memonopoli projek-projek, tender menaiktaraf serta selenggara jalan raya di beberapa negeri tertentu khususnya di Johor

“Saya percaya bahawa amalan tak sihat ini diberhentikan. (Perlu amalkan) satu tender terbuka yang memberi peluang kepada syarikat-syarikat lain. Jangan memonopoli terus dan ini tak baik,” katanya ketika sesi perbahasan perbekalan 2023 bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat jawatankuasa hari ini.

Hassan juga bertanya kepada KKR bilakah fasa menaiktaraf lebuh raya Pasir Gudang boleh diselesaikan ekoran banyak permasalahan timbul membabitkan kenderaan orang awam yang rosak akibat jalan berlubang.

Selain itu, beliau bertanya berapa pecahan peruntukan untuk jalan-jalan di setiap negeri, dan adakah ia termasuk untuk membaiki jalan-jalan rosak akibat banjir terutama di Kelantan, Terengganu dan Johor.

BACA JUGA: Parlimen: Lebih 3,200 unit PPR siap dibina di Kelantan, bantu B40 miliki rumah