Konvensyen parti-parti Kerajaan Perpaduan bakal diadakan – Anwar

Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mengadakan satu konvensyen melibatkan parti-parti gabungannya  bagi menentukan hala tuju yang sama ke arah pengukuhan kerjasama.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan dalam mesyuarat kali kedua itu dibuat bagi menetapkan hala tuju yang lebih jelas sekali gus ia dapat menjamin kestabilan politik dan keutamaan rakyat.

“Semua rakyat yang mesti dipertahanan hak mereka. Oleh itu, beberapa rencana yang lain termasuklah konvensyen parti-parti dalam kerajan perpaduan untuk memastikan supaya ada hala tuju, pemikiran dan dasar yang sama disepakati supaya ia lebih utuh.

“Sekretariat akan tetapkan masa serta berunding dengan ketua parti untuk menentukan masa yang sesuai,” kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil perbincangan Sekretariat Kerajaan Perpaduan melibatkan ketua kompenan pimpinan parti.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut memaklumkan bahawa proses pengagihan kerusi DUN melibatkan enam negeri masih dalam tempoh perbincangan.

“Masih dalam proses, akan dimuktamadkan dalam masa singkat (terdekat) setakat ini (perbincangan kerusi) berjalan lancar.

“Tapi kita tidak bincang detail kerana jawatankuasa mewakili parti-parti yang terlibat masih dalam perbincangan,” jelasnya.

Ketika ditanya media, mengenai laporan melibatkan tiga Jawatankuasa dalam blok sekretariat tersebut, Anwar mengulas setakat ini laporan tersebut berjalan lancar.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hasil kerjasama dengan Indonesia melibatkan projek hidroelektrik bagi menampung ibu kota baharu Indonesia iaitu Nusantara mampu memacu ekonomi Sarawak.

Oleh itu, beliau sentiasa mendokong iltizam Kerajaan Perpaduan dalam memacu ekonomi dan kesejahteraan negara.

“Kita nak menstabilkan (politik) melalui pentadbiran yang cekap di Malaysia saya berkesempatan bertemu dengan Presiden Indonesia untuk membincangkan hidroelektrik di Sarawak.

“Pembangunan ekonomi adalah satu keutamaan kepada kita kalau kerajaan punya hala tuju yang jelas, saya yakin sekretariat ini mampu memberi idea-idea yang bernas untuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.