Parlimen: Lebih 3,200 unit PPR siap dibina di Kelantan, bantu B40 miliki rumah

Sebanyak 3,268 unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) berjaya siap dibina di Kelantan setakat 31 Januari tahun ini manakala satu projek merangkumi 150 buah unit rumah sedang dalam pembinaan.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan berkata sejajar dengan usaha kerajaan membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 1,235 buah kediaman jenis itu telah siap dibina bagi memenuhi keperluan golongan B40.

“Kedua, program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di mana program ini dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan mampu memberi manfaat kepada golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang diberi kebenaran.

“Sehingga 31 Januari 2023, terdapat 8,686 unit RMR telah siap dibina dan 343 buah unit dalam pembinaan serta 16 unit rumah dalam perancangan,” katanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

AKMAL NASRULLAH

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan anggaran jumlah rumah mampu milik yang diperlukan di Kelantan dan jumlah rumah mampu milik di negeri itu yang sedang dibina oleh pihak kementerian pada waktu ini.

Akmal Nasrullah berkata kementerian juga membina perumahan PR1MA di Kelantan di mana ia merupakan program RMM untuk golongan M40.

Jelasnya sehingga 31 Januari, terdapat 963 unit kediaman telah siap dibina manakala 629 lagi dalam pembinaan dan 1,371 unit rumah dalam perancangan.

Tambah beliau sehingga hujung Januari lalu, terdapat lebih 2,699 unit kediaman di bawah SPNB berjaya disiapkan di Kelantan.

“Mengambil kira keperluan rakyat serta kedudukan ekonomi semasa, kementerian akan terus giat memberi tumpuan kepada akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki untuk memenuhi keperluan rakyat,” ujarnya.

BACA JUGA: KPKT bakal bina 1048 Rumah Belia Madani tidak lama lagi