‘Hadi tidak faham demokrasi, PN pembangkang tak guna’

EKSKLUSIF | Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak faham sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini manakala Perikatan Nasional (PN) pula tidak berperanan sebagai pembangkang yang membina.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, Hadi telah menganggap bahawa sistem demokrasi berparlimen merupakan satu sistem di mana terdapat persaingan dan usaha berterusan untuk menjatuhkan kerajaan.

Padahal, kata bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu, ia sepatutnya diselesaikan setelah tamatnya pilihan raya dan terbentuknya kerajaan dan pembangkang.

“Hadi tidak faham. Beliau (Hadi) cakap tentang haknya sebagai pembangkang tetapi bertindak hanya memikirkan kepentingan parti dan peribadi bukan memikirkan kepentingan negara.

“Sekiranya pembangkang memikirkan kepentingan negara maka beliau (Hadi) akan berusaha untuk menstabilkan suasana supaya negara ini boleh dibangunkan dan dimajukan secara bersama.

“Itulah sebabnya ada istilah pembangkang yang membina tapi malangnya PN adalah pembangkang yang tak guna kerana bukan sekadar tidak membina malah merosakkan,” katanya ketika diwawancara Harapan Daily baru-baru ini.

Khalid Samad

Sebelum ini, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN dilaporkan berkata, blok pembangkang bersama Bersatu itu berhak merancang untuk menumbangkan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dijamin dalam amalan demokrasi.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, PN sebenarnya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang sepatutnya memberikan cadangan atau mengkritik.

Sebaliknya, kata Khalid, PN menjalankan usaha untuk tebuk atap, masuk melalui pintu belakang atau berkeinginan untuk menjatuhkan kerajaan.

Berbeza dengan Anwar, jelasnya, Menteri Kewangan itu berusaha untuk mewujudkan suasana dan imej bagi sebuah kerajaan yang stabil untuk rakyat.

Khalid berkata kerajaan yang stabil pada hari ini telah mendapat sokongan daripada 148 Ahli Parlimen dengan majoriti dua per tiga yang telah meyakinkan pelabur besar asing untuk melabur ke negara ini termasuk Amazon, Intel dan Tesla.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini PH telah menunjukkan contoh tugasnya di Parlimen sebagai blok pembangkang yang berperanan dengan memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina serta bertanggungjawab kepada kerajaan ketika itu.

“Peranan pembangkang yang membina telah dimainkan oleh PH semasa zaman Ismail Sabri iaitu kita (PH) telah mencadangkan untuk diadakan memorandum persefahaman (MoU), beberapa dasar yang dilaksanakan, peruntukan untuk Covid-19 dan sebagainya.

“Tetapi, sekarang pembangkang tidak memainkan apa-apa peranan yang membina dan hanya memikirkan bagaimana hendak menjatuhkan kerajaan,” tambah Khalid lagi.

Khalid ketika diwawancara Harapan Daily di Shah Alam. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH 

BACA JUGA Petisyen Parlimen Marang: Hadi Awang hadir ke Mahkamah buat pertama kali

Â