Ibu bapa sambut baik tiada kelas akademik minggu pertama sekolah

Pendekatan tiada kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang bermula semalam, dilihat sebagai satu transformasi baharu yang memberi manfaat kepada murid.

Tinjauan Harapan Daily di Sekolah Kebangsaan (SK) Subang, di Kampung Melayu Subang hari ini mendapati, rata-rata ibu bapa yang ditemui bersetuju dengan kaedah baharu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu.

Pekerja swasta, Mohd Mizi, 38, berkata pendekatan tersebut sememangnya memberi kesan positif kepada murid dan guru, terutama kepada anaknya yang belajar di darjah empat sekolah berkenaan.

“Bagi saya tiada masalah. Sebab belajar atau tidak, nanti mereka akan belajar juga.

“Minggu ini tak belajar memang wajarlah sebab perlu menyesuaikan diri dengan kelas baharu, cikgu baharu dan juga rakan-rakan baharu,” katanya ketika ditemui Harapan Daily.

Sementara itu, jurujual dikenali sebagai Siti Mumataha, 32, pula menyifatkan tiada sesi pembelajaran pada minggu pertama persekolahan akan memberi ruang kepada murid untuk membiasakan diri mereka dengan suasana baharu.

“Baguslah minggu pertama ini murid-murid masih belum mula belajar. Bukan apa, bila belum belajar, sekurang-kurangnya anak-anak dapatlah membiasakan diri.

“Contohnya, dulu anak saya di kelas lain, sesi kali ini dia ditempatkan di kelas lain dan kawan-kawan yang berlainan.

“Jadi, eloklah ada sesi suai kenal,” ujarnya yang mempunyai anak di darjah empat.

Mohd Zikri

Bagi Mohd Zikri, 37, pula, beliau memuji inisiatif diambil oleh KPM itu yang dilihat memberi ‘nafas baharu’ kepada murid-murid dengan program-program bermanfaat.

“Bagi saya, tiada masalah untuk sesi suai kenal sepanjang minggu pertama. Anak-anak pun boleh kenal dengan kawan-kawan yang baharu.

“Macam anak saya umur lima tahun. Dia dari Tadika Perpaduan masuk pra sekolah di sini (SK Subang).

“Jadi, inisiatif ini memang terbaik dalam memberi ruang kepada murid-murid untuk berkenalan antara satu sama lain,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir.

Terdahulu, KPM memaklumkan minggu pertama sesi persekolahan tidak melibatkan sebarang kelas akademik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada semua sekolah menerusi arahan terbaharu bagi memberi ruang kepada pelajar dan guru untuk sesi suai kenal dan interaksi terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali pula dilapor berkata, minggu pertama persekolahan diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

Katanya, tumpuan hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik, tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 kali ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah.

BACA JUGA Isu kalendar persekolahan dibangkit Dewan Rakyat hari ini