Inflasi bawah 4 peratus, terendah di kalangan negara Asia Tenggara, negara maju

Malaysia mencatatkan kadar inflasi paling rendah di bawah 4 peratus berbanding sembilan buah negara maju di rantau Asia Tenggara dan negara maju.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kadar inflasi negara dalam bulan Januari 2023 ialah 3.7 peratus dan ia jauh lebih rendah berbanding Indonesia yang sudah berada di tahap 5.3 peratus.

Selain itu, kadar inflasi Malaysia juga antara terendah berbanding inflasi di Amerika Syarikat sebanyak 6.4 peratus, Filipina (8.7 peratus), Singapura (6.6 peratus), Thailand (5 peratus), Vietnam (4.9 peratus), Jepun (4.3 peratus), dan UK (10.1 peratus).

“Selaras peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kadar (kenaikan) inflasi negara juga telah menunjukkan tanda-tanda semakin reda. Secara keseluruhannya kadar inflasi Malaysia dijangka akan terus terkawal pada tahun ini,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan-PN) tentang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menjawab soalan itu, Ahmad Maslan berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) semasa mesyuarat terkini pada 8 hingga 9 Mac memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman OPR pada 2.75 peratus

Kadar tersebut adalah sama seperti yang diputuskan semasa mesyuarat MPC pertama diadakan pada tahun ini iaitu pada 18 dan 19 Januari.

Ahmad Maslan berkata keputusan untuk mengekalkan kadar OPR dibuat untuk menilai kesan pelarasan kumulatif OPR lalu terhadap prospek inflasi dan ekonomi Malaysia.

“Kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas daripada 1.75 peratus kepada 2.75 peratus setakat ini mencerminkan pengembalian tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar.

“MPC akan terus berwaspada terhadap faktor kos yang boleh menjejaskan prospek inflasi termasuk faktor disebabkan perkembangan pasaran kewangan.

“Namun demikian pada paras terkini iaitu 2.7 peratus, dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.

BACA JUGA: Lagi 3 bulan, cukai barangan mewah diperinci