Mahasiswa Keadilan selar kenyataan Haji Hadi tuduh PKR lawan al-Quran
Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menyelar kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh PKR melawan al-Quran.
Sayap mahasiswa itu berpandangan kenyataan Ahli Parlimen Marang berbahaya dan boleh membawa kepada amalan takfir.
“PKR tidak pernah menolak peranan, prinsip serta nilai agama Islam dalam politik, siasah dan pentadbiran negara.
“Yang ditolak adalah mempolitikkan agama serta pembawaan Islam yang ekstrem dan untuk kepentingan politik,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata sikap mempolitikkan Islam seperti membela amalan rasuah dengan menggunakan hujah agama, mencela orang bukan Islam dalam pemerintahan dan kenyataan takfir adalah contoh jelas yang dimainkan oleh parti agama itu.
MKM juga turut berpandangan, konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu ihsan dan tolong menolong tanpa mengira kaum dan agama perlu diangkat oleh semua pemimpin parti politik, katanya.
“Kami berpendapat semua pimpinan daripada mana-mana parti harus bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Malah sebagai seorang agamawan, Haji Hadi harus menyokong usaha PM (Perdana Menteri) untuk melahirkan masyarakat Madani yang memfokuskan perkembangan ilmu dan pembinaan insan secara holistik,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuat kenyataan kontroversi itu menerusi kolum Minda susulan ucapan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menggesa ahli parti itu ‘menyerang’ kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.
Saifuddin ketika itu berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Khas PKR pada Sabtu lalu turut mengetengahkan kenyataan Abdul Hadi yang menurutnya dibuat secara menentang titah diraja.
BACA JUGA: ‘Hadi tidak faham demokrasi, PN pembangkang tak guna’