Pejuang dukacita PN tidak beri sambutan matlamat elak pecah undi Melayu

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) melahirkan rasa dukacita kerana hasratnya untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pecah undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mendapat sambutan.

Setiausaha Agungnya Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata dengan itu, Pejuang akan terus menggerakkan jentera di kawasan tertentu untuk bersiap sedia menghadapi PRN akan datang.

“Pejuang dimaklumkan semalam Majlis Tertinggi PN telah bermesyuarat antara lainnya membincangkan permohonan Pejuang menyertai gabungan Perikatan Nasional.

“Pejuang telah dimaklumkan bahawa permohonan ini telah ditolak. Adalah amat mendukacitakan bahawa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut oleh pimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amiruddin berkata Pejuang akan sentiasa kekal dalam arena politik negara untuk mempertahan ‘Rule of Law’ dan membawa amanat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

Terdahulu Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan memberitahu Majlis Tertinggi PN telah membuat keputusan menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan parti itu.

BACA JUGA: Permohonan Pejuang sertai Perikatan Nasional ditolak