PM Anwar ulangi gesaan percepat proses tender projek tebatan banjir

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi gesaan supaya mempercepatkan proses tender projek tebatan banjir di seluruh negara.

Menteri Kewangan tersebut berkata, langkah itu bagi mengurangkan tekanan dihadapi mangsa banjir akan risiko banjir pada tahun mendatang.

“Bagi langkah tebatan banjir, saya meminta Perbendaharaan untuk menyegerakan proses tender supaya dapat mengurangkan tekanan untuk tahun mendatang.

“Namun, langkah segera, terutama membeli ‘waterjet’ sudah dilakukan. Saya percaya ini dapat membantu rakyat di bawah yang tertekan dan akan memberi makna yang besar,” katanya.

Beliau berucap pada program pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pascabanjir ke Johor, di Putrajaya pagi ini.

PM Anwar menyempurnakan pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pascabanjir ke Johor pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, seramai 1,500 sukarelawan penjawat awam akan mengikuti konvoi misi bantuan pasca banjir ke beberapa lokasi di Johor.

Menurutnya menerusi hantaran di Facebook, usaha PSPA itu selaras dengan nilai ihsan dalam konsep Madani serta nilai empati dalam pembudayaan Great Civil Service.

“Saya mendoakan supaya misi PSPA ke Johor berjalan dengan selamat dan dipermudahkan segala urusan. Semoga khidmat sukarelawan ini dapat mengurangkan beban keluarga mangsa yang terlibat,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Rundingan terus dibatalkan bukan projek tebatan banjir

Â