PN gagal kawal kenaikan harga barang – Amirudin

Kenaikan harga bahan mentah makanan terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang menunjukkan kelemahan serius kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa kegagalan PN untuk mengawal dan melaksanakan langkah yang patut ketika itu telah mengakibatkan ketidaktentuan dan peningkatan secara mendadak harga barangan sehingga ke hari ini.

“Sebagaimana pengalaman kita (rakyat) ketika PKP, kerajaan persekutuan (PN) pada waktu itu telah mengenakan tekanan kepada harga barang.

“Jadi, apa yang kita (rakyat) terima sekarang ini adalah akibat daripada tekanan yang telah diberikan (oleh PN) ke atas harga barangan makanan terutamanya ayam dan keperluan lain semasa PKP yang berlanjutan lebih dari setahun,” katanya ketika Majlis Perasmian Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Rumah Pangsa Pelangi Damansara, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Terdahulu, pada 27 April 2021, Naib Presiden Pas, yang juga Senator pada waktu itu, Idris Ahmad telah menggesa kerajaannya sendiri, PN untuk lebih serius menangani isu kenaikan harga barangan pengguna seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran yang dilaporkan meningkat secara mendadak.

Justeru, kata Amirudin, IPR melalui Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) merupakan langkah jangka sederhana yang boleh dilaksanakan segera bagi mengatasi permasalahan ini.

Katanya, program IPR yang diusahakan oleh Kementerian Ekonomi merupakan usaha untuk meningkatkan gaji rakyat selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

“IPR adalah khusus untuk menangani isu penting dalam komuniti dan masyarakat iaitu meningkatkan pendapatan dan hasil kepada rakyat,

“Sekiranya pendapatan rakyat tinggi, kita akan mengatasi isu seperti inflasi, peningkatan harga barang dan sebagainya,” katanya.

Pada masa yang sama, Amirudin turut memaklumkan antara usaha kerajaan negeri Selangor melaksanakan langkah intervensi adalah melalui inisiatif Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

“Kerajaan negeri telah melaksanakan program-program intervensi termasuk JER yang sudah masuk bulan keenam yang dilakukan secara berterusan supaya kita (Selangor) dapat memberikan subsidi kepada beberapa item.

“Antara barangan itu adalah termasuk ayam, telur ayam, beras, minyak masak dan tepung yang dikendalikan secara terus oleh pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” katanya.

Tambahnya lagi, sehingga kini kerajaan negeri telah membelanjakan lebih daripada RM20 juta untuk menjayakan program itu yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat di Selangor.

BACA JUGA IPR akan keluarkan miskin tegar dari B40

Â