Usaha membersihkan negara daripada korupsi bukanlah mudah
Usaha membersihkan negara daripada korupsi bukanlah suatu yang mudah tetapi ia kena dilakukan kerana itu saja jalan terbaik. Lebih-lebih lagi jika ia sudah menjadi amalan biasa di banyak tempat pada semua peringkat hingga orang yang berdepan dengannya menganggap ia merupakan kelaziman dan bukan kesalahan selagi tidak tertangkap dan didapati bersalah.
Pantang saja ada peluang, maka ia dilakukan tanpa merasa salah. Anutan agama seseorang tidak menjadi penghalang kepada perbuatan korupsi itu. Tambahan pula, bukan senang untuk menyiasat kes korupsi dan mengumpul bukti untuk dibawa ke mahkamah. Tetapi ia tetap perlu dilakukan demi negara dan masa depannya.
Sudah pasti terdapat banyak pelakuan korupsi tidak terdedah dan ua ditelan zaman dengan begitu saja. Tetapi bagi mereka yang menyaksikan sendiri perbuatan rasuah itu akan sukar untuk menyimpan kisahnya. Mereka menceritakannta pada orang lain. Apabila kisah-kisah ini berkumpul di sana sini maka dirasakan bahawa negara sedang terbeban dengan bahana korupsi.
Maka adalah wajar bagi pihak berkuasa untuk menyiasat, mengumpul bukti dan mendakwa. Apabila terdapat banyak kes, tentulah ia memakan masa untuk menyiasat dan mendapatkan bukti. Tetapi apa saja bukti yang sudah cukup, maka tanpa berlengah, ia terus dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Kalau kes-kes biasa, ia perkara mudah tetapi jika kes berprofil tinggi melibatkan pula ahli politik, maka kerajaan dan pihak berkuasa akan menjadi sasaran kritikan dari pihak yang memusuhinya.
Tetapi kes berprofil tinggi ini lebih penting diutamakan untuk ditangani. Bukan saja jumlah wang yang begitu besar terlibat dengan merugikan rakyat, tetapi juga ia melibatkan golongan elit dalam masyarakat, baik dalam bidang politik mahupun perniagaan.
Kesedaran mendalam pada semua warga negara perlu ada mengenai wang milik bersama iaitu wang kerajaan. Ia perlu dibelanjakan secara beramanah kerana ia adalah wang milik bersama. Ia bukan wang milik orang perseorangan atau parti yang boleh diambil begitu saja walaupun ada jalan untuk itu. Kesedaran ini adalah lebih penting dimiliki oleh golongan elit kerana mereka mempunyai kuasa dan pengaruh.
Ditambah pula golongan elit ahli politik dan ahli perniagaan berprofil tinggi adalah kebih cerdik daripada rakyat biasa. Oleh kerana kedudukannya itu, mereka akal yang panjang untuk menyembunyikan perbuatan terkutuj mereka. Sedangkan golongan ini mempunyai tanggungjawab yang lebih untuk bersifat amanah.
Penguatkuasaan bagi mencegah rasuah ini perlu bukan saja untuk menghukum pelaku-pelaku rasuah tetapi lebih penting lagi mencegah korupsi daripada menjadi bertambah berleluasa dalam masyarakat. Dari situ kemudiannya sedikit demi sedikit usaha dilakukan supaya masyarakat benar-benar bersih daripada korupsi.
Bilakah mulanya korupsi mula menyerap ke dalam masyarakat dengan luas? Adakah semasa Dr Mahathir Mohamad mula menjadi perdana menteri, atau lebih awal lagi iaitu apabila Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan? Apabila terdapat banyak peluang dan ruang hingga ia mengundang banyak pihak untuk melakukan perbuatan-perbuatan tidak amanah, tanpa sekataan dan hukuman?
Dalam tahun 1970-an, kes berprofil tinggi adalah kes Dato Harun Idris dan Bank Rakyat berhubung dengan penganjuran tinju Muhammad Ali. Ketika kerajaan pimpinan Tun Hussein Onn, dikatakan sebagai pendakwaan terpilih dan ia merupakan langkah politik untuk memenangi persaingan dalam politik Umno. Namun korupsi tetap korupsi.
Penguatkuasaan, perbicaraan dan hukuman diharapkan dapat menakutkan sesiapa pun, pada masa kini atau masa depan untuk tidak melakukannya. Sebab itu perlunya agensi penguatkuasaan yang tersusun dan disokong penuh oleh kerajaan kerana peranan mereka adalah penting. Agensi penguatkuasaan sendiri juga perlu bersih dan bertindak tanpa takut atau pilih kasih “without fear or favour”. Adakah ini merupakan suatu yang ideal untuk dicapai? Tentulah tidak, sebab terdapat juga banyak negara yang bebas korupsi dan memiliki agensi penguatkuasaan yang efisien.
Walau bagaimana pun, permulaan untuk pembersihan adalah pencegahannya di peringkat diri seseorang. Bagi nereka yang tidak perlu menghadapi suasana ini, perkara ini tidak menjadi isu. Tetapi bagi mereka yang berdepan dengan peluang untuk melakukan korupsi, ia adalah suatu ujian baginya. Adakah hendak melakukan rasuah itu; atau dengan serta-mara terus menolaknya tanpa ragu-ragu?
Mengapakah seseorang itu melakukan rasuah? Banyak ahli psikologi telah mengkajinya. Ia membawa kepada sifat tamak. Melihat wang jutaan ringgit sememangnya menyilaukan dan boleh membuat seseorang itu lupa segala bahaya korupsi pada dirinya dan masyarakat. Tetapi bukan saja tentang wang, dorongan untuk memiliki kuasa juga boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan rasuah. Ketamakan pada wang, kuasa dan status boleh mendorong seseorang melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.
Tamak hanya berlaku pada golongan elit. Mereka tidak puas hati dengan kekayaan, kekuasaan atau kedudukan sedia ada. Maka mereka sanggup melanggar undang-undang untuk menambah kekayaan, kekuasaan dan kedudukan. Tetapi ada golongan yang mahu menjadi golongan elit melalui jalan rasuah. Itu bukan tamak tetapi tidak beretika dan hilang pertimbangan akal.
Korupsi hanya boleh berlaku dengan dua atau lebih orang. Kalau seseorang mengambil wang negara, itu namanya mencuri. Tetapi untuk rasuah, ia kena ada pihak yang memberi dan menerima. Tetapi jika korupsi yang berbentuk kompleks, maka ia memerlukan ejen atau orang tengah. Lebih-lebih lagi tentulah korupsi itu disembunyikan supaya kesan-kesannya tidak dapat dihidu oleh pihak penyiasat.
Maka ada kalanya pemberi rasuah itu tidak mengetahui ke mana wangnya pergi, sementara penerima rasuah pun tidak mengetahui daripada mana wang itu datang. Bukan mereka tidak boleh nengetahui tetapi saja mereka tidak mahu mengetahui untuk melepepaskan diri daripada tanggungjawab terlibat dengan perbuatan rasuah
Bagaimanakah dunia perniagaan dapat berkembang jika projek dilakukan secara rundingan terus dengan membabitkan rasuah? Tentulah ia menyukarkan pelaburan apabila dilihatnya bahawa dalam masyarakat terdapat banyak sangat orang yang tidak jujur. Begitu juga, bagaimanakah politik sihat dapat bercambah jika parti-parti politik sendiri terlibat dengan korupsi. Jika parti politik sudah rosak, ke mana lagi harapan rakyat hendak hidup dalam sebuah negara jujur?
Kalau mengikut agama, apa yang haram dan halal adalah jelas. Bagi orang Melayu, perkara itu adalah jelas jika ia berkaitan dengan makanan dan pakaian. Tetapi apabila mengenai rasuah, mereka tidak dapat melihatnya sebagai haram. Mungkin kerana ia melibatkan wang yang banyak hingga mengelabui pertimbangan akal.
Pelbagai alasan dibuat untuk membolehkan dan mempertahankan perbuatan rasuah. Sikap ini tentulah berbahaya pada negara serta imej agama itu sendiri pada masa ini dan masa akan datang.
Hinggakan ada suatu imej bahawa orang Melayu tidak jujur dan tidak amanah. Perkara ini bukan suatu yang baharu. Buku Revolusi Mental yang diterbitkan oleh Umno pada tahun 1970-an pernah mengupas hal ini. Maka apa yang dikehendaki ialah Melayu yang Madani, Melayu yang bebas rasuah. barulah Melayu itu bermaruah dan berwibawa.
BACA JUGA: KWSP institusi keadilan sosial warga emas
Â