Aktiviti resahkan masyarakat ketika Ramadan tidak wajar diteruskan – KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan keresahan sesuatu kaum di negara ini tidak seharusnya diteruskan terutamanya  pada bulan Ramadan.

Beliau berkata kementerian akan mengenal pasti tentang fakta rancangan persembahan hiburan Thai Hot Guy di ibu kota pada hujung bulan ini dan siapa penganjurnya.

“Reaksi umum saya adalah jelas, memasuki ambang Ramadan sebaik-baiknya untuk acara seumpama itu tidak diteruskan kerana ia boleh mewujudkan keresahan (kerana) umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan suci (Ramadan).

“Sebagai menteri, saya cenderung untuk menyebut menjadi kewajipan semua agar ketibaan bulan suci ini dihayati dalam konteks memuliakan, mengambil peluang mengukuhkan elemen saling memahami, hormat menghormati dan tidak memasuki ‘territory’ yang dianggap boleh mencetuskan sensitiviti (agama),” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang mahu kerajaan membatalkan acara pertunjukan’Thai Hot Guy’ pada 30 Mac ini.

Poster mengenai persembahan lelaki berpakaian wanita sempena pembukaan sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur disebarkan melalui Facebook.

Ia turut memuat naikkan gambar-gambar suasana persembahan lelaki berpakaian wanita di lokasi dipercayai di negara jiran.

BACA JUGA: Bar program “Thai Hot Guy” tiada lesen hiburan DBKL