Batalkan persembahan ‘Thai Hot Guy’, hormati sensitiviti masyarakat – Pemuda
Sayap pemuda parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah kelab hiburan di ibu kota yang merancang untuk menampilkan persembahan lelaki berpakaian wanita pada 3o Mac ini.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional Senator Mohd Hasbie Muda berkata pihaknya memandang serius penganjuran acara sedemikian sebagai perbuatan menjijikkan, biadab serta tidak menghormati sensitiviti majoriti masyarakat di Malaysia.
”Apatah lagi acara itu diadakan dalam bulan suci umat Islam di negara ini. Acara itu seolah-olah ingin membawa anasir kebebasan keterlaluan yang songsang ke dalam negara kita.
”Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional akan menghantar satu surat bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera menguatkuasakan larangan acara terbabit serta acara seumpama ini pada masa-masa yang akan datang,” tegas beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Hasbie lagi, pihaknya percaya kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan DBKL akan mengambil langkah-langkah tegas dalam menangani hal berkenaan.
Semalam, sebuah akaun Facebook memuat naik hantaran mengenai penganjuran program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita.
Susulan penganjuran acara tersebut, Pemuda UMNO membuat laporan polis pada hari ini sebagai bantahan terhadap majlis yang dilihat tidak bermoral itu.
Ketua Pergerakan Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jika tiada sebarang tindakan pembatalan diambil, pihaknya sendiri yang akan berbuat demikian.
“Kita tidak memerlukan orang yang tidak tahu menghormati sensitiviti sesama sendiri. Saya menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik lain bersatu hati menentang perkara yang terkutuk ini.
“Ini negara kita, maka cara dan budaya kita,” tulis beliau dalam satu hantaran Facebook.
Dalam pada, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK Malaysia mengkritik sekeras-kerasnya penganjuran Thai Hot Guy pada Ramadan yang boleh mengguris sensitiviti masyarakat di negara ini.
“Biarpun Kerajaan Madani hari ini menjunjung tinggi nilai kebebasan rakyat, ia mestilah dipertauti dengan nilai penghormatan yang tinggi.
“Hilangnya sebuah nilai penghormatan memandangkan program ini bertentangan dengan norma masyarakat, budaya setempat dan menghakis nilai kearifan tempatan yang menjadi tunjang kepada pembentukan identiti Malaysia,” jelas ketuanya Ashraf Hadi.
Beliau turut mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi membatalkan program tersebut.
“Ejen yang menjadi pengancam kepada identiti negara bangsa Malaysia wajib ditentang tanpa kompromi,” katanya.