Ekonomi tidak akan jadi lebih teruk seperti zaman Mahiaddin

Mengikut unjuran dan prestasi ekonomi ketika ini, kedudukan Malaysia tidak akan menjadi lebih teruk seperti zaman pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, jika berpandukan kepada saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini, semua sektor telah pulih kecuali sektor pertanian.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan tidak boleh menambah hutang sebesar RM200 hingga RM300 bilion seperti yang dicadang Mahiaddin kerana ia bakal menyebabkan pentadbiran akan datang terpaksa mewarisi bayaran yang tinggi.

“Pertamanya berdasarkan unjuran dan prestasi ekonomi sekarang, kita Insya-Allah tidak akan menjadi lebih teruk daripada semasa zaman Pagoh menjadi perdana menteri.

“Jadi kalau Pagoh (Mahiaddin) mengatakan keadaan pada tahun ini akan menjadi lebih teruk daripada sebelum ini, data-data ekonomi yang ada itu tidak menyokong apa yang disebut oleh Pagoh.

“Kedua, walaupun Pagoh kata kerajaan boleh memperuntukkan RM200, RM300 bilion, kita juga sedar bahawa kami terpaksa mewarisi satu bebanan hutang yang besar.

“Sebab itu dalam suasana ekonomi yang sudah pun melepasi endemik, kita juga memastikan bahawa kita menangani cabaran-cabaran antarabangsa. Yang terbaik ialah mengimbangi di antara suntikan dan bantuan dengan mengukuhkan keadaan fiskal negara,” katanya ketika sesi waktu jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mahiaddin (PN-Pagoh) yang mencadangkan kerajaan melaksanakan satu langkah segera seperti dilakukan Perikatan Nasional dengan menubuhkan Pakej Rangsangan Bersasar untuk golongan industri tertentu.

Rafizi berkata kerajaan mempunyai cara tersendiri untuk menjaga kebajikan kumpulan rentan dan memulihkan ekonomi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa mengambil tindakan berhutang dan menambah beban seperti diamalkan kerajaan PN.

Ujarnya, pengambilan hutang hingga melepasi sasaran defisit akan menyebabkan penarafan hutang negara lebih tinggi sekali gus kerajaan perlu membayar kadar faedah yang banyak pada masa depan.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan berbelanja secara berhemah melalui kawalan hutang daripada menggunakan peruntukan yang ada untuk membayar kadar faedah tinggi.

“Ia berkait dengan hutang akan datang yang kita ambil, jika tersasar daripada sasaran defisit yang kita ada, maknanya penarafan hutang kita lebih tinggi.

“Maka setiap kali jika ada pentadbiran baharu yang mengambil pendekatan berhutang tanpa menjaga penarafan defisit, ia menyebabkan jumlah faedah perlu dibayar adalah berganda.

“Jika sekarang RM40 bilion, lima tahun lagi jadi RM60 bilion…adakah lebih baik untuk kita bayar hutang melalui bunga faedah sampai RM50 hingga RM60 bilion sedangkan wang itu kalau dibelanjakan secara berhemah dan dikawal hutangnya boleh membantu terus golongan rentan,” katanya.

BACA JUGA: Formula Rafizi dapat sambutan, lebih 22,000 daftar Inisiatif Pendapatan Rakyat