JAKIM, agensi agama perbanyak aktiviti hidupkan bulan Ramadan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi agama termasuk di negeri-negeri diharap dapat menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat menghidupkan bulan Ramadan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar berkata agensi tersebut juga perlu kreatif dalam menganjurkan aktiviti supaya menarik anggota masyarakat terutamanya golongan muda ke masjid dan menyertai program-program dianjurkan sepanjang bulan ibadah itu.
“Program disebut ‘Ihya’ Ramadan’ bermaksud menghidupkan, jadi kita rancang program dan JAKIM serta agensi lain kita akan lancarkan (program) bagi galakkan umat Islam merebut peluang untuk meningkatkan amal ibadah secara istiqamah.
“Sudah tentu JAKIM sebagai agensi utama dalam hal ehwal agama memainkan peranan penting bersama majlis-majlis agama negeri kita galakkan masyarakat untuk galakkan amal ibadah dalam bulan Ramadan, kita tidak mahu ia berlalu begitu sahaja, ia perlu dihidupkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya malam tadi.
Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.
Mohd Na’im berkata dalam konteks dakwah dan imarah, sudah tentu akan menyajikan pelbagai aktiviti ibadah seperti solat sunat tarawih, tadarus, sedekah, qiamullail, zikir dan khatam al-Quran.
“Inilah aktiviti yang kita anjurkan sebelum ini dan diharap akan diperbanyakkan lagi pada Ramadan kali ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelas beliau JAKIM bersama agensi lain turut akan menyusun program turun padang bagi menjejaki golongan ‘dhuafa’ (golongan miskin dan memerlukan) bagi menyalurkan bantuan dan menyantuni mereka sempena Ramadan ini.
“Kita tidak duduk diam, setiap tapak dalam usaha menjejaki dhuafa ini dalam bulan Ramadan ini sudah tentu mendapat ganjaran besar.
“Semoga usaha ini kita agensi agama akan diingati dan mendapat rahmat daripada Allah,” katanya.
BACA JUGA: Malaysia kemuka permohonan tambah kuota haji 31,950 jemaah tahun depan