JAWI bekerjasama dengan pihak berkuasa siasat persembahan ‘Thai Hot Guy’

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat penganjuran acara ‘Thai Hot Guy’ sempena pembukaan sebuah kelab malam di ibu kota hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Penganjuran acara tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat.

“Apatah lagi dalam suasana umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan yang dipenuhi dengan kemuliaan, penganjuran acara berkenaan amat mendukacitakan serta tidak bertanggungjawab,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau berkata pihaknya  telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan penganjuran pembukaan sebuah kelab yang melibatkan sekumpulan pihak yang dikenali “Thai Hot Guy”.

Menurut laporan, acara tersebut akan berlangsung di premis yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Laporan yang memetik Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin berkata kelab malam yang menganjurkan program ‘Thai Hot Guy’ dengan menampilkan pelayan lelaki mengenakan pakaian wanita beroperasi sebagai restoran tanpa lesen hiburan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021.

BACA JUGA: Aktiviti resahkan masyarakat ketika Ramadan tidak wajar diteruskan – KDN