Kerajaan disaran tubuh jawatankuasa semak semua perkhidmatan bersifat monopoli

Kerajaan disaran melakuan semakan secara menyeluruh ke atas semua perkhidmatan yang bersifat monopoli demi menjaga kepentingan rakyat.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata kerajaan perlu berbuat demikian terhadap mana-mana perkhidmatan bagi orang awam dan dikuasai pihak tertentu.

Beliau berpendapat terdapat banyak lagi perkhidmatan bersifat monopoli yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Kerajaan tak perlu tunggu untuk rakyat bersuara. Tubuhkan jawatankuasa untuk menilai monopoli yang diwujudkan oleh kerajaan bagi perkhidmatan tidak stategik,” dipetik BH, hari ini.

Noor Azlan Ghazali

Menurutnya, monopoli perlu dikawal dengan mewujudkan banyak persaingan supaya pengguna mempunyai pilihan walaupun terdapat beberapa perkhidmatan memerlukan kuasa monopoli.

Mengulas langkah kerajaan untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka sekali gus memecahkan monopoli Touch ‘n Go (TnG), Noor Azlan menyokong usaha tersebut.

“Bagus bagi saya bukan saja untuk TnG, malah banyak lagi perkhidmatan lain yang perlu dinilai.

“Sebagai contoh Puspakom (Puspakom Sdn Bhd), hanya untuk memeriksa kenderaan.

“Kenapa perlu Puspakom yang buat sedangkan di luar negara di mana-mana saja ada pusat bertauliah yang boleh berbuat demikian,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah lebih baik dan akhirnya akan memanfaatkan pengguna jika terdapat persaingan.

BACA JUGA Tol MLFF menjelang 2025