Majlis Madani ditubuhkan, terjemah gagasan Kerajaan Perpaduan

Kerajaan Perpaduan menubuhkan Majlis Madani bagi menterjemahkan konsep Malaysia Madani serta melaksanakan program bersesuaian dengan gagasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perancangan pelbagai program rasmi berkonsepkan kerajaan dan masyarakat Malaysia Madani.

Beliau berkata perincian berhubung majlis tersebut akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri nanti.

“Apa yang penting, kita mahu mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menterjemahkan pelaksanaan falsafah dan konsep masyarakat Madani ini supaya difahami dan menyantuni semua pihak.

“Konsep dan falsafah Madani perlu menyantuni kepelbagaian agama, budaya bahasa dan latar belakang masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Perpaduan NGO Islam 2023 di Hotel Tenera, Bangi, Selangor semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zambri Zainal Abidin.

Sebahagian daripada ulama tempatan dan luar negara yang turut menyertai Konvensyen Perpaduan NGO Islam di Bangi pada 21 Mac 2023. Foto FB Dato’ Setia Mohd Na’im Mohktar

 

Sebahagian wakil NGO Islam menghadiri Konvensyen Perpaduan NGO Islam di Bangi pada 21 Mac 2023.

Ahmad Zahid berkata kerajaan berharap majlis itu bukan sahaja difahami dari segi konsep malah diterjemah melalui pelaksanaan program yang berstruktur.

Beliau menjelaskan konsep Madani bukan hanya untuk orang Islam sahaja malah rakyat seluruhnya sesuai dengan latar masyarakat majmuk di negara ini.

“Sememangnya, saya sangat mendokong usaha yang dilakukan PM dan saya yakin semua bangsa juga agama setelah memahami falsafah (ini) pasti akan mendokong hasrat beliau (Anwar),” jelasnya.

Pada konvensyen itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi menjalankan aktiviti tahunan.

Terdahulu Zamri mengemukakan 10 resolusi termasuklah membangunkan kompleks lengkap dengan fasiliti milik bersama gabungan NGO Islam dengan bantuan daripada dana kerajaan.