Organisasi rasa mereka lebih Islam, remehkan soal penyatuan ditegur
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur sikap segelintir pihak yang meremehkan soal penyatuan dalam kalangan organisasi Islam termasuk perbuatan menyingkirkan pihak yang bertentangan pandangan dengan mereka bagi menunjukkan ia lebih Islam.
Timbalan Perdana Menteri berkata terdapat pertubuhan yang mendakwa sebagai Islam sering merasakan kumpulan mereka sahaja yang sering berada di hadapan untuk memacu agenda agama.
Sedangkan kata beliau, organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam ditubuhkan bagi mengislahkan masyarakat ke arah kehidupan lebih baik berteraskan ajaran Islam.
Tanpa merujuk mana-mana pihak secara khusus, beliau terdapat organisasi politik yang merasakan diri mereka adalah lebih Islam daripada lain-lain organisasi di negara ini.
“Manifestasi seperti itu harus dibuang demi penyatuan ummah. Cukuplah kita berbeza pendapat dan pandangan tapi kaedah untuk menyantuni perbezaan pendapat itu mesti ada adab untuk tanganinya.
“Bukan hanya hentam kromo dalam apa jua platform seolah-olah yang lain, organisasi lain, pemimpin lain sebagai jahiliah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam 2023 di Hotel Tenera, Bangi semalam.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Na’im Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin.
Konvensyen itu merupakan anjuran YADIM melalui Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang dihadiri kira-kira 400 wakil NGO Islam dari seluruh negara.
Ahmad Zahid berkata terdapat organisasi yang melontarkan ayat al-Quran dan hadis dengan hanya memberikan pengertian mengikut kepentingan pertubuhan tersebut sedangkan mereka sendiri sering mengenepikan hukum-hukum yang ada dalam nas.
Dalam hal ini, beliau menegaskan permuafakatan dalam kalangan NGO Islam sangat penting dalam menghasilkan perpaduan.
“Kita mesti mencari titik persamaan bukan mencari titik perbezaan yang tidak kunjung habis. NGO Islam ditubuhkan untuk menjadikan ia sebagai badan yang melakukan dakwah dalam pelbagai bentuk pada setiap waktu,” ujarnya.
BACA JUGA: Majlis Madani ditubuhkan, terjemah gagasan Kerajaan Perpaduan
Â