Perancangan secara telus bangunkan Kampung Baru, jamin kepentingan Melayu

Keputusan Kerajaan Perpaduan untuk mencari kaedah lain bagi pembangunan Kampung Baru bagi menjaga kepentingan orang Melayu di kawasan segi tiga emas itu adalah langkah yang tepat.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata sekiranya satu keputusan dicapai kelak, beliau yakin kerajaan akan membentangkan perancangannya secara telus dan tanpa berselindung di sebalik apa-apa agenda melainkan hanya untuk kepentingan rakyat.

“Sekiranya pembangunan ini berlaku ia akan menambahkan kekayaan masyarakat Melayu kerana tanah Kampung Baru itu merupakan harta yang sangat bernilai tetapi tidak dapat dicairkan.

“Apabila dibangunkan (nanti), ia akan mendatangkan manfaat kewangan dan ekonomi kepada masyarakat Melayu sekiranya ia diuruskan dengan baik,” katanya ketika diwawancara Harapan Daily di Shah Alam baru-baru ini.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata, Kampung Baru yang berstatus tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) berkeluasan hampir 200 ekar itu merupakan kawasan yang sangat berpotensi untuk dibangunkan.

“Ini merupakan peluang yang baik untuk merancang pembangunan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur bagi masyarakat Melayu dengan cara yang akan menguntungkan khususnya kepada pemilik-pemilik tanah.

“Ini memerlukan satu pendekatan yang lebih teliti dan terperinci dilakukan yang bertujuan untuk menambah demografi penduduk Melayu di bandaraya,” katanya.

Tambahnya, tanah MAS di Kampung Baru turut mempunyai aktanya tersendiri yang menjadikan tanah di situ hanya boleh dimiliki dan diduduki oleh orang Melayu sahaja.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua pihak memberi tempoh kepada Kerajaan Perpaduan untuk memikirkan kaedah yang lebih sesuai dengan jaminan sebarang cadangan akan membabitkan rundingan bersama penduduk dan pemilik tanah di Kampung Baru.

Kerajaan Perpaduan menolak beberapa cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang dikemukakan kerajaan terdahulu, sebaliknya memberi jaminan akan mencari kaedah lain yang menjaga kepentingan orang Melayu di penempatan itu.

Khalid ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan tampil dengan cadangan untuk melaksanakan pembangunan menyeluruh kawasan MAS di Kampung Baru dengan pemilik tanah ditawarkan pembelian tanah pada harga RM1,000 sekaki persegi dengan sebahagiannnya diperuntukkan melalui pegangan saham.

Pemilik diberi pilihan mendapat hak milik aset kediaman yang dibangunkan atau dalam bentuk wang tunai.

Konsep pembangunan yang dicadangkan itu mahu mengekalkan ciri tradisional Kampung Baru dan berhasrat membawa kembali orang Melayu terutama penduduk asal kampung tradisi itu tinggal di kawasan tersebut.

BACA JUGA: Dilema penjaja tanpa lesen di Kampung Baru