Pindaan menyahjenayahkan percubaan bunuh diri dibentang dalam sesi ini

Pindaan untuk menyahjenayahkan percubaan bunuh diri akan dibentangkan di dalam sesi Dewan Rakyat sekarang, umum Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

“Kami berharap, pindaan ini akan dibawa dalam sesi Parlimen ini sekarang juga untuk dibentang, dibahas dan diluluskan,” kata Ramkarpal ketika Waktu Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan melalui jabatan Peguam Negara telah menjalankan kajian secara mendalam berkaitan kesalahan percubaan membunuh diri di bawah seksyen 309 Kanun Keseksaan dan cadangan pemansuhan undang-undang ini,” kata beliau ketika menjawab soalan Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH) yang bertanya mengenai perkembangan berkaitan pengumuman kerajaan untuk meminda seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Seksyen 309 Kanun Keseksaan sekarang menjenayahkan percubaan membunuh diri. Mereka yang didapati bersalah akan berdepan hukuman penjara jika disabitkan kesalahan.

Beliau turut menegaskan pendirian kerajaan bahawa mereka yang cuba membunuh diri tidak seharusnya disabitkan kesalahan.

“Susulan kajian tersebut, kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan beberapa RUU berkaitan dalam usaha ini. Mereka tidak seharusnya disabit dengan jenayah kerana mereka berada dalam keadaan mental tidak stabil.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau telah mempengerusikan 10 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan yang meliputi ahli parlimen, agensi kerajaan untuk meneliti serta menyelesaikan perkara perundangan yang berbangkit sejak Disember 2022.

BACA JUGA: Persoalan menarik di Dewan Rakyat