PM Anwar selamat tiba di Jeddah, buat lawatan rasmi ke Arab Saudi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selamat tiba di Jeddah bagi melakukan lawatan rasmi atas undangan kerajaan Arab Saudi.

Ketibaan beliau disambut Gabenor Jeddah Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud.

Turut menyertai lawatan itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Sempena lawatan tersebut, Anwar dan Wan Azizah bersama anggota delegasi Malaysia melakukan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah menjelang ketibaan Ramadan yang dijangka esok.

“Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama sedia ada di samping meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.

“Semoga lawatan ini akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, Insya-Allah,” kata Anwar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rombongan disambut oleh Gabenor Jeddah Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud ketika tiba di Jeddah pada 22 Mac 2023.  Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi bermula hari ini hingga 24 Mac merupakan atas jemputan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata Perdana Menteri dijadual menghadap Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed Salman.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga turut mengadakan sesi pertemuan bersama komuniti perniagaan serta diaspora Malaysia di Arab Saudi.

Lawatan itu mencerminkan hubungan istimewa dengan Arab Saudi yang wujud selama ini serta memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meningkatkan jalinan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang.

Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar dan sumber import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat.

Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (AS$4.23 bilion) pada 2021.

BACA JUGA: Kursus haji TH tarik perhatian menteri Arab Saudi