PRN: DAP berhati-hati, bukan pesimistik

DAP mengambil pendirian berhati-hati tetapi bukan pesimistik dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

Menurut Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, parti beliau mengambil pendirian realistik kerana mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka.

“Seseorang yang pesimis akan kalah. Saya optimis. Pada masa lampau jika anda tanya saya berapa kerusi kami akan kalah, saya akan katakan bahawa saya akan mempertahankan setiap kerusi kerana semua yang menyertai pilihan raya bertanding dengan harapan untuk menang,” kata Loke yang juga Adun Chennah, Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal menyaksikan pilihan raya negeri kerana DUN tidak dibubarkan serentak untuk pilihan raya umum.

Semua DUN kerajaan di atas dijangka dibubarkan di dalam bulan Jun. Tiga negeri pertama yang disenaraikan diperintah oleh Pakatan Harapan manakala bakinya oleh Perikatan Nasional.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Pengangkutan di dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan bahawa partinya berhasrat untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi.

“Kami akan fokuskan kepada kekuatan kami dan memastikan kerusi dimenangi demi rakan (di dalam Pakatan Harapan) agar kekuatan yang ada sekarang dikekalkan,” Loke dipetik berkata oleh Malay Mail.

“Kita perlu kekalkan kekuatan jika tidak dapat meningkatkannya,” kata beliau.

Beliau mengakui ada kerusi yang sukar dimenangi tetapi akan berusaha untuk mengekalkan kerusi yang telah dimenangi. Beliau turut menambah bahawa petunjuk prestasi utama DAP ialah mengekalkan kerusi yang telah dimenangi.

“Kami kalah dua kerusi (semasa pilihan raya umum ke-15) – satu di Sabah dan satu di Sarawak tetapi mengekalkan semua kerusi di Semenanjung dan bagi saya itu adalah pencapaian yang besar,” tambah beliau.

BACA JUGA: Anthony Loke, Menteri Pengangkutan pilihan rakyat!