Sesi Soal Jawab PM bukti Anwar bersedia terajui negara
Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan menyifatkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) oleh ahli Parlimen adalah bukti kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara.
Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, sesi pertanyaan selama sejam itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
“Anwar memiliki tokoh kepimpinan yang tidak pernah dimiliki Perdana Menteri sebelum ini.
“Berbanding zaman Perdana Menteri Tun Mahathir, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi, PM5), Najib (Datuk Seri Najib Razak, PM6) dan Abah (Mahiaddin Yassin, PM8) hanya Anwar Ibrahim sahaja yang berani membuat sesi soal jawab dan diberikan secara terus,” ujarnya.
MK Ibrahim berkata demikian semasa berucap dalam program Ceramah Perpaduan DUN Paroi di Padang Apartmen Taman Tasik Jaya, Senawang kelmarin.
Program anjuran Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan negeri itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.
Untuk rekod, sesi PMQ adalah pembaharuan yang dibuat Kerajaan Perpaduan bagi memberi ruang kepada mana-mana wakil rakyat bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri pada setiap Selasa di Dewan Rakyat.
Sesi secara ujian rintis pada setiap Selasa itu mula dilaksanakan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, 13 Februari lalu.
Dalam pada itu, MK Ibrahim juga mengingatkan bahawa penubuhan Kerajaan Perpaduan berlaku atas hasrat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar kestabilan politik dapat diwujudkan.
“Kerjasama Kerajaan Perpaduan bukanlah kehendak Anwar mahu pun Zahid, tetapi ia berlaku atas persetujuan secara bersama iaitu keutamaan kepada rakyat,” katanya.
Oleh itu, jelasnya, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, siri jelajah ceramah Kerajaan Perpaduan perlu diadakan dengan kerap.
Siri jelajah ceramah itu, katanya, perlu diperbanyak di kawasan luar bandar bagi memberi maklumat berkaitan politik terkini terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Kita mulakan ceramah sebagai simbolik kita untuk menyedarkan masyarakat tentang politik kerana perkara melibatkan pilihan raya (PRN) bukanlah perkara main-main.
“Ia menentukan masa depan kita. Anak-anak muda perlu kaji sedikit berkaitan politik semasa, jangan terpengaruh pada gelombang (hijau) sahaja,” ujarnya lagi.
Selain Negeri Sembilan, lima buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini.
Persetujuan itu dibuat, bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pelarasan sebelum menetapkan tarikh bersesuaian untuk PRN.
BACA JUGA MB untuk Negeri Sembilan: Bersatu sudah tiada lagi tenaga