Tahun baharu kaum India

Hari ini, 22 Mac 2023, merupakan tarikh sambutan Ugadi iaitu tahun baharu bagi kaum India berketurunan Telugu.

Namun begitu, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika masyarakat pelbagai kaum di Malaysia hanya mengenali sambutan tahun baharu oleh komuniti Tamil pada bulan April setiap tahun.

Hakikat yang kurang disedari dan kurang diperkatakan adalah realiti kaum India terdiri daripada pelbagai keturunan; biasanya berdasarkan wilayah atau negeri asal usul nenek-moyang dari negara India.

Kumpulan majoriti iaitu sekitar 85% terdiri daripada keturunan Tamil yang bertutur bahasa Tamil dan mengamalkan budaya Tamil.

Kelompok minoriti kaum India di Malaysia terdiri daripada orang Punjabi (3.5%), Malayali (3.2%), Telugu (2.4%) dan beberapa lagi komuniti kecil yang tetap berbangga dengan bahasa ibunda dan budaya tradisional.

Perihal identiti dan jati diri kumpulan penduduk yang mempunyai sejarah, adat, bahasa dan pengalaman yang berbeza dihuraikan secara terperinci dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

Kita ketara melonggokkan kaum India sebagai satu kumpulan etnik yang sama, serupa dan besifat homogenus kerana kurang pendedahan tentang realiti sejarah dan asal usul setiap keturunan terbabit.

Pada hakikatnya, setiap kumpulan ini berbeza mengikut keturunan, agama (termasuk mazhab) dan lokasi geografi tempat asal.

Sekadar contoh, penduduk Indonesia beragama Hindu di Bali menyambut tahun baharu Nyepi secara besar-besaran dan penuh ritual pada hari ini (22 Mac 2023) sedangkan penganut Hindu di Malaysia, Singapura, India dan sebagainya langsung tidak mengamalkannya.

Bagi orang keturunan Telugu, sambutan tahun baharu ialah Ugadi yang berasal daripada kata “yugadi” iaitu gabungan “yuga” (tempoh masa) dan “adi” (permulaan).

Di negara India, Ugadi atau Yugadi disambut orang keturunan Telugu, Tulu, Kodava dan Kannada di negeri Andra Pradesh, Telangana, Karnataka dan Goa.

Di Malaysia pula, Ugadi diraikan masyarakat Telugu beragama Hindu dalam skala kecil-kecilan kerana tidak diiktiraf sebagai hari cuti umum.

Komuniti Telugu di Malaysia mudah dikenal pasti menerusi penggunaan “Naidu”, “Reddy” dan “Rao” pada hujung nama, manakala di India pula terdapat “Akkineni”, “Babu”, “Chowdary”, “Naayak”, “Yadav” dan pelbagai lagi.

Sambutan tahun baharu kaum India yang lebih dikenali di Malaysia ialah Chittirai Puttandu iaitu sambutan komuniti Tamil. Perhatian yang lebih diberi kepadanya kerana majoriti kaum India di negara ini keturunan Tamil.

Pada tahun ini, sambutan adalah pada 14 April di Tamil Nadu (India), Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Kanada, Mauritius dan di mana sahaja terdapat diaspora Tamil.

Komuniti Chetti Melaka yang merupakan kaum peranakan juga termasuk dalam kategori Tamil, walaupun mereka tidak menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda. Maka, sambutan Chittirai Puttandu juga agak meriah di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang.

Sambutan Chittirai Puttandu juga masih penuh kontroversi di Tamil Nadu kerana penyokong Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) mengisytiharkan tarikh sambutan ponggal (pesta menuai) pada 14 Januari sebagai lebih layak diraikan sebagai tahun baharu bagi komuniti Tamil.

Tuntutan sedemikian juga pernah dilakukan di negara kita. Misalnya, Persatuan Dravadian Malaya yang diasaskan pada tahun 1946 telah mendesak kerajaan British hanya mengiktiraf ponggal.

Sambutan tahun baharu bagi orang Malayali dikenali sebagai Vishu dan jatuh pada 14 April juga. Di Malaysia, ia lebih merupakan sambutan secara kecil-kecilan bersama ahli keluarga.

Keunikan sambutan Vishu ialah pada amalan vishukani yang membawa makna “objek pertama yang dilihat pada tahun baharu”.

 

Bahan yang digunakan untuk sambutan Vishu

Beberapa sayur, buah, objek dan barangan kemas diletakkan pada talam khas untuk dipandang sebaik bangun pada pagi Vishu.

Satu lagi keunikan Vishu yang disambut orang Malayali ialah Vishu sadhya iaitu makan tengah hari tradisional yang dihuraikan secara terperinci dalam buku Mandala Bicara (2016).

Walaupun kita sering melihat orang Punjabi sebagai kelompok yang berasingan daripada kaum India, secara realiti, mereka termasuk dalam kategori kaum India kerana nenek-moyang berasal dari wilayah Punjab.

Orang Punjabi menyambut tahun baharu yang dinamakan Vaisakhi sejak ribuan tahun dahulu.

Walau bagaimanapun, berlaku perubahan kepada tujuan sambutan Vaisakhi oleh orang Punjabi beragama Sikh mulai tahun 1699.

Tarikh 30 Mac 1699 amat penting kerana pada majlis sambutan Vaisakhi, guru kesepuluh bagi penganut Sikh iaitu Guru Gobind memperkenalkan Khalsa Panth.

Sejak itulah juga lelaki Sikh diletakkan “Singh” (singa) dan wanita diletakkan “Kaur” (puteri) pada hujung nama. Huraian secara mendalam boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam (2015).

Maka, selain daripada sambutan Chittirai Puttandu oleh komuniti Tamil di Malaysia, terdapat juga sambutan Ugadi (Telugu), Vishu (Malayali) dan Vaisakhi (Punjabi-Sikh).

Terdapat pula sambutan tahun baharu oleh pelbagai subetnik India yang mungkin hampir tidak diketahui umum kerana mereka merupakan kelompok minoriti yang hampir-hampir tidak disedari kewujudannya.

Jika kita merujuk senarai sambutan tahun baharu di negara India, maka kita akan menyedari bahawa ada pelbagai variasi yang tidak kita kenali dan tidak ambil tahu.

Misalnya, pada hari ini juga (22 Mac 2023), komuniti Marathi di Maharashtra dan Madhya Pradesh menyambut tahun baharu Gundhi Padwa, orang Kashmir menyambut Navreh, orang Sindhi menyambut Cheti Chand dan penduduk Manipur meraikan Sajibu Nongma Panba.

Penduduk di Assam dan Arunachal Pradesh menyambut tahun baharu Bohag Bihu pada 14-15 April manakala orang keturunan Gujarati akan menyambut Bestu Varas pada 13 November 2023. Sambutan Pana Sankranti oleh orang Odia di Odisha pula pada 14 April.

Kepelbagaian ini tidaklah menghairankan kerana di negara India terdapat 28 buah negeri dan 8 wilayah persekutuan, ratusan bahasa ibunda, ribuan subetnik serta pelbagai agama dan mazhab.

Bagi kita di Malaysia, sudah cukup baik jika kita berusaha mengenali budaya dan jati diri komuniti utama iaitu Tamil, Punjabi, Malayali dan Telugu.

 


Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

BACA JUGA: Kisah bakeri dan roti benggali