99 Speed Mart tawar Jualan Rahmah Hari Raya

Kedai serbaneka terkenal, 99 Speed Mart menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada 150 barang keperluan asas sempena Jualan Rahmah Hari Raya yang bermula hari ini hingga 22 April depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan, tawaran seperti itu amat berbaloi, berpatutan dan mampu milik untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
“Kami terus komited untuk memastikan rakyat Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.
“Pada masa sama, kerajaan juga sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal menjelang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart Cawangan Bukit Jalil.
Sebanyak 2,300 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara memulakan aktiviti Jualan Rahmah yang berlangsung selama sebulan iaitu bermula hari ini sehingga 22 April depan.
Jualan tersebut melibatkan sebanyak 150 pelbagai produk barangan asas dan keperluan seperti beras, susu tin, air minuman, ketupat mini, kordial, barangan pencuci, mentega, biskut raya dan lain-lain.