Agong titah elak membazir makanan, jangan sia-sia pahala Ramadan

Yang di-Pertuan Agong menasihatkan umat Islam agar tidak mensia-siakan pahala bulan Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan ketika berbuka puasa.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan bahawa perkara itu bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam bersederhana dan tidak membazir.

“Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah menerusi ayat 27 Surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

“Seri Paduka baginda menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” kata Istana Negara dalam kenyataan.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di negara ini.

 

Seri Paduka baginda berdua juga mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan dengan bersama mendoakan Malaysia terus diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.

“Bersempena ketibaan bulan Ramadan, Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.

“Justeru itu, perbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan amalan-amalan kebajikan serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan,” kata Istana Negara sambil berkata syiar Ramadan bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa.

“Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah SWT.”

BACA JUGA: MP Marang biadab, tidak hormati titah Agong