Bina parkir bertingkat atasi kesesakan di hospital kerajaan

Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan yang kritikal di beberapa hospital utama di negara ini termasuk menggunakan kaedah penyumberan luar.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata melalui kaedah itu, syarikat-syarikat swasta ditawarkan untuk menguruskan tempat kenderaan di tapak milik hospital dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT).

“Memandangkan peruntukan yang terhad, keutamaan KKM pada masa ini adalah tertumpu kepada penyediaan keperluan penjagaan kesihatan dan perubatan berbanding pembinaan kemudahan tempat letak kereta yang bertingkat.

“Bagaimanapun, bagi penambahan bangunan atau perkhidmatan hospital pada masa akan datang, KKM akan mempertimbangkan penyediaan tambahan tempat letak kenderaan bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat bergantung kepada peruntukan yang dapat disediakan,” katanya ketika sesi jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang bertanya adakah pihak kerajaan mempunyai perancangan untuk membina parkir bertingkat di seluruh hospital kerajaan.

Lukanisman berkata KKM juga memperkenalkan kemudahan valet parkir di hospital, naik taraf tempat letak kereta sedia ada di hospital secara berskala kecil melalui peruntukan pembangunan.

Selain itu, kata beliau pihak hospital juga membina tempat letak kereta bertingkat secara usahasama dengan pihak swasta.

Bagaimanapun, Lukanisman berkata buat masa ini KKM berdepan kekangan untuk membina parkir bertingkat di hospital-hospital kerajaan ekoran peruntukan kementerian yang agak terhad.

Beliau berkata kekangan tanah dan kawasan kosong yang bersesuaian dalam kawasan hospital juga membataskan usaha KKM untuk perbanyakkan tempat letak kereta.

Mengenai cadangan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkaitan parkir khas untuk warga emas, Lukanisman berkata pihaknya akan mengutarakan hal itu kepada pihak hospital.

“Saya akan bawakan perkara ini dan cadangan ini telah difikirkan. Kita akan mengarahkan pengarah-pengarah hospital mengutamakan tempat letak kereta untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya.

Menjawab soalan tambahan Alias berkenaan rancangan kerajaan membentangkan kertas putih KKM, Lukanisman memaklumkan bahawa ia akan dibentangkan pada pertengahan tahun ini ketika sidang Parlimen pada Mei dan Jun tahun ini.

“KKM sedang melakukan sesi libat urus di Sarawak, Sabah dan Semenanjung. Sesi libat urus ini adalah kesinambungan sesi libat urus yang telah dijalankan pihak KKM sebelum ini,” katanya.

BACA JUGA: Selangor Saring: Lebih 22,000 jalani pemeriksaan kesihatan percuma – MB