Lepas 100 hari Kerajaan Perpaduan kekal kukuh bagaikan dinding rumah, bukannya rumah kaca

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyifatkan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini bagaikan dinding rumah kukuh dan bukannya rumah kaca yang boleh ditebuk atapnya.

Katanya, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan terdahulu, kestabilan kerajaan yang dibentuk bersama gabungan parti-parti politik itu sememangnya terserlah.

“Sekarang inilah baru stabil. Selepas kita (Kerajaan Perpaduan) ambil alih, baru nampak kerajaan itu stabil. Tak ada lah fikir macam mana nak tebuk atap.

“Dia (pembangkang) kata rumah kita (Kerajaan Perpaduan) rumah kaca. Tak ada kerja lain, hari-hari dia baling (isu).

”Baling dan terus baling, tengok-tengok dah 100 hari tak pecah juga dinding dia. Kejap baling isu itu lah, kejap baling isu ini lah dengan harapan dinding rumah akan pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Padang Apartmen Taman Tasik Jaya, Senawang baru-baru ini.

Turut hadir dalam program anjuran Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan negeri itu adalah Pengarah Komunikasi AMANAH kebangsaan Khalid Samad, Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dan dua Naib Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan iaitu Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Menurut Adly yang juga Naib Presiden AMANAH, beliau mengibaratkan dinding rumah yang merujuk kepada Kerajaan Perpaduan itu, sememangnya benteng yang kuat.

“Sebenarnya pintu rumah kita ada kunci, jangan bimbang. Dinding kaca kita juga kuat, hari-hari dia baling dengan macam-macam isu dengan harapan dinding itu pecah, kemudian boleh masuk ke dalam rumah.

“Tapi sebenarnya, kita nak beritahu bahawa kestabilan politik itu adalah perkara teras bagi sesebuah negara. Kalau kita mahu kukuhkan orang Islam, Melayu, politik kita kenalah stabil.

“Ini kerana ekonomi yang kukuh akan memberi peluang dan pulangan terbaik kepada masyarakat di negara ini kerana majoriti di Malaysia adalah orang Melayu, di samping bangsa-bangsa lain juga akan mendapat manfaat daripada eknomi yang baik,” ujarnya lagi.

Dengan wujudnya kestabilan politik, Adly yang juga ahli parlimen Alor Gajah menyifatkan ekonomi negara boleh diangkat semula, sekali gus melaksanakan program-program yang berpotensi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

BACA JUGA: Khalid sekolahkan pemimpin PN, tugas pembangkang bukan kerja ‘tebuk atap’

Â