Malaysia main peranan aktif dalam OIC, depani isu umat Islam – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan memainkan peranan sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang aktif dalam mendepani isu dihadapi umat Islam di seluruh dunia.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi OIC yang diketuai Setiausaha Agungnya Hussein Brahim Taha di Mekah, Arab Saudi semalam.
“Dalam pertemuan itu saya tegaskan Malaysia akan mencari jalan bersama OIC bagi menangani isu penindasan terhadap rakyat di Palestin.
“Malaysia juga akan memainkan peranan sebagai anggota OIC yang aktif dalam mendepani isu dihadapi umat Islam seluruh dunia,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Perdana Menteri berkata, pertemuan tersebut juga menyentuh soal isu negara Palestin, Afghanistan, Islamophobia, proses rundingan damai selatan Thai dan Filipina serta beberapa permasalahan lain yang dihadapi umat islam saat ini.
“Turkiye dan Malaysia akan bersama-sama ketengahkan isu Islamophobia supaya difahami masyarakat antarabangsa,” katanya.
Anwar dalam rangka lawatan rasmi sulungnya ke Arab Saudi bermula semalam selepas dilantik sebagai Perdana Menteri hujung tahun lalu.
Lawatan tersebut merupakan atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.
Perdana Menteri diringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Anwar turut dijadual mengadakan kunjungan mengadap ke atas Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta Mohammed Salman.
Semasa lawatan ini Perdana Menteri turut mengadakan sesi pertemuan bersama warga perniagaan serta diaspora Malaysia di Arab Saudi.
BACA JUGA: PM Anwar selamat tiba di Jeddah, buat lawatan rasmi ke Arab Saudi