Shahidan cetus kecoh, tuduh KKD arah TikTok sekat siaran langsungnya

Sidang Dewan Rakyat petang ini kecoh apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital berkenaan siaran langsung ucapannya di akaun TikTok miliknya didakwa telah disekat semalam.

Beliau mempersoalkan adakah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) terlibat dalam memberi arahan kepada penyedia platform TikTok untuk menyekat siaran langsungnya.

Ketika menjawab soalannya, Teo Nie Ching berkata kementerian sama sekali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu dan menafikan terlibat mengeluarkan sebarang arahan.

Beliau juga menyarankan Shahidan untuk membawa tuduhannya ke luar Dewan Rakyat dan memfailkan tindakan undang-undang supaya perkara tersebut boleh disiasat.

“Saya hendak menegaskan bahawa kementerian tiada pengetahuan kenapa TikTok Live YB Arau ditutup semalam semasa perbahasan ucapan beliau.

“Saya rasa tuduhan bahawa TikTok Live beliau ditutup oleh sebab KKD mengadakan kolaborasi dan perjumpaan dengan platform media sosial, itu adalah tidak bertanggungjawab

“Kalau beliau memang berani, bolehlah keluar dari Dewan dan ulangkan sekali lagi tuduhan beliau supaya tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi KKD dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan yang tidak berpuas hati kemudian bangkit mencelah mengatakan beliau tiada masa untuk mencabar mana-mana pihak.

Keadaan Dewan Rakyat pada satu ketika bagaikan tidak terkawal apabila arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong agar Shahidan berhenti mencelah dan duduk tidak dihiraukan.

Sebaliknya Shahidan menjelaskan; “Saya tadi bertanya, bukan mencabar. Bukan kerja saya pergi cabar, cari peguam, nak bagi peguam tu kerja. Tu bukan kerja saya, bukan kerja kami. Saya tanya soalan adakah kementerian terlibat

“Kalau saya tak boleh cakap di Parlimen, saya nak cakap mana? YB, saya minta penjelasan, kalau tidak, kata tidak. Ini cabar (saya) pergi keluar. Saya bukan gila babi nak buat kerja cabar, cabar. Kita banyak kerja lain untuk rakyat,” katanya.

Nie Ching kemudian mengulangi penegasannya mengatakan kementerian sama sekali tidak terlibat dengan apa yang didakwa Shahidan

“Saya jawab di sini KKD tidak terlibat. Kalau pun KKD terlibat, saya rasa TikTok Live tadi pun KKD akan minta TikTok untuk padamkan. Tetapi YB kena faham, TikTok bukanlah syarikat yang ditubuh di Malaysia, bukanlah syarikat di bawah KKD.

“Dia tak akan dengar arahan KKD seperti itu sahaja. Saya minta YB tanya soalan ini kepada TikTok,” katanya.

Terdahulu Shahidan mendakwa siaran langsung di akaun TikTok miliknya disekat ketika memasuki tiga minit berucap dalam perbahasan semalam.

Beliau mengaitkan perjumpaan KKD dengan pengendali platform TikTok baru-baru ini menyebabkan siaran langsungnya disekat.

“Semalam saya berucap. Saya diberi tempoh lima minit. Tetapi lepas tiga minit 45 saat, siaran saya sudah tergendala. Hitam. Disekat. Saya sangka guruh dan kilat semalam. Rupa-rupanya telah disekat selama 10 minit.

“Antara benda yang diperjuangkan oleh PH selama ini ialah kebebasan berucap. Apabila PH memerintah, benda pertama mereka berbincang dengan TikTok adalah supaya tidak benar perkara-perkara yang menyentuh (isu sensitif).

“Saya tidak patut dihalang kerana saya bercakap di Parlimen. Ini hak saya yang dinafikan TikTok kerana pihak kerajaan telah berbincang dengan TikTok. Kenapa disengsarakan orang yang bercakap tentang rakyat?,” soalnya.