TH pertimbang konsep wakaf haji, tangani tekanan subsidi

Tabung Haji (TH) akan mempertimbang cadangan memperkenalkan konsep wakaf haji bagi menangani tekanan pemberian subsidi kepada jemaah akibat kenaikan kos menunaikan ibadah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar berkata penilaian dan kajian berkenaan cadangan itu akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi melihat keberkesanannya.

“Pihak TH akan mengambil kira cadangan untuk mewujudkan wakaf haji. Saya rasa ini adalah sebahagian daripada inisatif yang diambil oleh pihak Tabung Haji pada masa hadapan.

“Kami akan nilai, buat kajian berkenaan cadangan ini dan bila sampai masanya kita akan laksanakan dengan baik,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai cadangan mewujudkan tabung wakaf negara bagi menangani tekanan subsidi supaya bantuan kewangan dapat diberi sama rata kepada semua jemaah.

Kepada soalan Datuk Ahmad Yahaya (Pokok Sena-PN), Mohd Na’im berkata sehingga kini kerajaan melalui TH masih lagi meneruskan bantuan kewangan bersasar kepada jemaah haji golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, TH juga sentiasa bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan beberapa agensi kerajaan lain untuk memastikan kumpulan sasar yang telah dikenal pasti untuk mendapat bantuan kewangan haji memenuhi kriteria mengikut kategori mereka.

“TH akan meneruskan bantuan kewangan haji bagi membantu meringankan beban kewangan jemaah haji muasasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan,” katanya.

Sejak 2001 hingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion telah dibelanjakan bagi bantuan kewangan haji.

TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada tahun 2022 kepada RM400 juta pada tahun ini.

Â