AMANAH Kedah tegur SOP MBAS, ‘jahanamkan’ gerai penjaja sampai kerugian

Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mempersoal tindakan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) yang meroboh beberapa gerai penjaja di Tandop, Kedah sehingga menyebabkan peniaga menanggung kerugian besar.

Beliau berkata, MBAS telah mengeluarkan notis agar peniaga tidak meninggalkan gerai (stall) mereka selepas berniaga pada sebelah pagi mahupun petang, namun ada beberapa peniaga yang tidak mematuhi notis yang dikeluarkan.

Bagaimanapun katanya, tindakan penguatkuasa yang merobohkan dengan cara menukul dan ‘menjahanamkan’ gerai penjaja yang tidak disimpan itu agak keterlaluan.

Difahamkan, pihak MBAS melakukan proses perobohan dan menyita gerai yang masih belum dialihkan di kawasan tersebut kerana kawasan itu telah diluluskan sebagai tapak kawasan bazar ramadan.

“Pihak MBAS telah menghantar notis kepada peniaga supaya kosongkan tapak untuk tujuan dijadikan tapak bazar ramadan. Tetapi ada yang tak simpan gerai kerana mereka difahamkan salah seorang penyewa tapak bazar berkenaan.

“Jadi bila MBAS datang untuk membersihkan petak kawasan yang akan dijadikan bazar, mereka telah merobohkan gerai-gerai yang tidak disimpan. Kita tak kisah kalau mereka nak membersihkan (mengosongkan) kawasan.

“Kita cuma pertikai bagaimana SOP dia membersihkan kawasan itu. Dia bukan bersihkan pun, dia pergi roboh dan jahanamkan gerai penjaja.

“Menjahanamkan gerai inilah yang saya tak setuju. Bolehkah SOP dia guna tukul sampai berkecai ‘stall’ orang? Gerai itu peniaga nak guna untuk berniaga bazar ramadan. Kalau dah jahanam bagaimana mereka nak berniaga?,” soalnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

AMANAH Kedah
Antara gerai penjaja yang diroboh

Terdahulu, tular video di TikTok menunjukkan beberapa gerai penjaja sedang dirobohkan oleh pihak MBAS sehingga mengundang kecaman ramai.

Salah seorang peniaga air balang yang terkesan memberitahu, dia kerugian RM3,000 hingga RM4,000 disebabkan gerainya yang dirobohkan.

“Dia bukan kira. Orang berniaga cuma untung RM30 dan RM40. Habis barang-barang depa. Depa nak cari makan macam mana? Ada anak sekolah. Bagilah ruang sedikit. Kedai-kedai habis diroboh,” kata pemilik video yang memuat naik rakaman tersebut.

Dalam pada itu, Dr Ismail Salleh turut menuntut penjelasan dari kerajaan negeri Kedah termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Datuk Bandar Alor Star, Datuk Mohd Yusri Mohd Daud.

Menurutnya, beliau telah pun memberikan mesej pesanan ringkas WhatsApp kepada Datuk Bandar sejurus selepas gerai-gerai penjaja dirobohkan semalam.

“Selepas kejadian itu saya WhatsApp Datuk Bandar, minta dia jelaskan apa yang dah berlaku. Jadi esoknya baru beliau jawab, beliau maklum akan teliti isu berkenaan,” katanya.

Baca juga: Hukuman mati mandatori, penjara sepanjang hayat akan dimansuhkan