Amirudin mahukan satu penggal lagi

Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari mahukan satu penggal lagi untuk memimpin kerajaan negeri agar visi beliau berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim dapat direalisasikan.

“Saya perlukan satu lagi penggal untuk memastikan perkara yang dirancang berhasil,” kata beliau dalam satu temuramah eksklusif dengan media antarabangsa, Straits Times.

Beliau turut menyenaraikan tiga kawasan pembangunan untuk Selangor iaitu: kawasan pembangunan Sabak Bernam, Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dan Selangor Maritime Gateway.

IDRISS usaha pembangunan ekonomi strategik di selatan Selangor yang merangkumi pelbagai aspek antaranya pendidikan, perumahan, pelaburan serta pengangkutan meliputi 40,000 ekar di Daerah Sepang dan Kuala Langat. Ia dilancarkan pada 15 Mac.

Selangor Maritime Gateway melibatkan pembangunan seluas 88,000 ekar tanah di sepanjang 56 kilometer Sungai Klang. Projek ini bertujuan memberi nafas baru kepada sungai dan akan membantu dalam usaha pengurangan banjir.

Amirudin yang juga adalah ketua Pakatan Harapan Selangor dan Ahli Parlimen Gombak turut mendedahkan bahawa PH tidak mampu tewas di Selangor kerana ia akan memberi kesan kepada kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selangor tak mampu gagal. Jika kita gagal, ia akan memberi kesan kepada pusat,” beliau dipetik berkata.

Pada masa sama beliau yakin kempen Perikatan Nasional (PN) tidak akan berjaya dalam pilihan raya negeri yang akan berlangsung selepas pembubaran DUN di dalam bulan Jun.

“Kita telah belajar dari kesilapan lalu. Kita perlu belajar dari kegagalan model PN yang berasaskan ketidakpercayaan. Mereka berkumpul sebagai satu kumpulan di peringkat pusat tetapi bertentangan di peringkat negeri,” Amiruddin dipetik berkata.

Pemimpin berusia 43 tahun tersebut turut menyatakan keyakinannya kepada rakyat yang akan menyokong PH kerana pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Perdana Menteri Malaysia.

Di Selangor sahaja, sebanyak 56 kerusi DUN akan dipertandingkan. Negeri lain yang akan menyaksikan pilihan raya negeri ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

BACA JUGA: Tidak bubar DUN sebelum Aidilfitri – Amirudin