Bantuan khas Aidilfitri kakitangan awam dibayar 17 April

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 akan dibayar kepada penjawat awam pada 17 April ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, semua penjawat awam bawah gred 56 dan ke bawah serta 87 lantikan kontrak layak menerima bantuan RM700.

Menurut kenyataan itu bagi pesara perkhidmatan awam pula akan menerima BKKA sebanyak RM350.

Selain itu, dalam surat edaran yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr. Zulkapli Mohamed menjelaskan BKKA tahun ini turut meliputi pesara Skim Kumpulan Simpanan Pekerja, pesara kerajaan berpencen, penerima pencen terbitan dan veteran berpencen.

“BKKA 2023 juga dibayar kepada pegawai lantikan MySTEP, guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas serta Gred khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya,” kata edaran itu.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri selaras dengan tema Membangun Bersama Madani.

Inisiatif itu diberi bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

BACA JUGA: Kakitangan awam dapat bantuan khas RM700 sempena Aidilfitri