Hukuman mati mandatori, penjara sepanjang hayat akan dimansuhkan

Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, kata Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh.

Namun, untuk tiga jenis kesalahan iaitu pengedaran dadah di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dua jenis kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong di bawah seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan, mahkamah mempunyai pilihan untuk mengenakan hukuman mati atau penjara.

Semalam, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Azalina Othman Said memaklumkan, rang undang-undang ini akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama Isnin 27 Mac depan.

Dalam sesi penerangan tertutup bersama media baru-baru ini, Ramkarpal menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang pemansuhan hukuman mati mandatori tidak akan menyebabkan hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya, sebaliknya mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk memutuskan hukuman setimpal berdasarkan fakta kes.

Ram Karpal memberikan penjelasan kepada media berhubung dengan RUU baru yang akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama Isnin ini.

Selain itu, beberapa dasar lain yang dipersetujui ialah pemansuhan hukuman penjara sepanjang hayat yang sebelum ini dijadikan alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Hukuman penjara sepanjang hayat ialah hukuman penjara tanpa tarikh bebas. Dalam erti kata lain, dihukum penjara selama mana tempoh hayatnya.

Menurut Ramkarpal, kerajaan tidak mahu banduan menghabiskan sisa hayat mereka hanya di dalam penjara, sekaligus ingin membuka peluang kepada mereka untuk keluar semula kepada masyarakat.

Justeru hukuman sepanjang hayat akan dimansuh dan diganti dengan hukuman penjara iaitu untuk tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

“Tiada lagi (hukuman) sepanjang hayat di mana seseorang akan mati di penjara. Untuk penjara seumur hidup pula akan dikenakan satu tempoh yang tetap untuk semua. Sepanjang hayat bukan lagi satu pilihan dan akan dimansuhkan. Tiada lagi hukuman ini,” katanya.

Seramai 1,324 banduan yang dijatuhi hukuman mati dan sedang dibicara dengan kes yang boleh dikenakan hukuman mati akan terkesan apabila RUU itu diwartakan.

“Sekarang kita punyai 1,324 banduan di mana mereka antaranya sudah selesai proses perundangan dan berada di sel akhir, serta mereka yang sedang dalam perbicaraan untuk dikenakan hukuman mati

“Lebih kurang 400 adalah mereka yang masih belum selesai kes di mahkamah. Maksudnya proses perundangan belum habis. Jadi untuk kes ini, undang-undang baru akan terpakai kepada mereka secara restrospektif,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, banduan akhir dan yang sedang dibicarakan dengan hukuman sebelum ini diberikan peluang untuk membuat semakan semula kepada mahkamah selepas RUU ini diwartakan.

 

BACA JUGA Baki stok vaksin Covid-19 sebanyak 8.6 juta dos