Kerja baiki paip pecah siap 6 pagi Sabtu, bekalan air 55 kawasan pulih berperingkat

Kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang dijangka siap pada jam 6 pagi esok (Sabtu), kata Air Selangor.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata pihaknya telah mula menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” kata Air Selangor dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Air Selangor dalam pengumumannya pada pukul 6 petang tadi memberitahu pelaksanaan kerja-kerja itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 55 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam bermula jam 10 malam ini (Jumaat).

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat apabila sistem bekalan air distabilkan setelah kerja-kerja pembaikan siap,” katanya.

Air Selangor menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 

 

BACA  JUGA: MB: Sejuta pelajar Selangor dilindungi skim insurans, negeri tanggung premium