Lebih banyak lebuh raya laksana pembayaran tol terbuka – Menteri

Kerajaan dalam proses mempercepatkan pelaksanaan kaedah pembayaran tol secara terbuka termasuk menggunakan kad debit dan kredit melibatkan lebih banyak lebuh raya.

Menteri Kerja Raya berkata pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak hanya terhad di lima lebuh raya seperti diumum sebelum ini apabila beberapa lagi syarikat konsesi menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam sistem tersebut.

”Perkembangan positif ini akan saya umumkan kelak selepas semua proses selesai. Untuk makluman, pasukan kementerian dari Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) telah memulakan usaha ini sejak dari 2022 lagi.

”Selepas dilantik mengetuai kementerian ini antara fokus utama saya tekankan adalah mempercepatkan usaha pembayaran tol secara terbuka bagi pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) sekali gus menghentikan segala bentuk monopoli.

”Arahan itu saya keluarkan sejak Januari 2023 dan saya juga telah terlibat dalam pelbagai sesi libat urus dan perbincangan bagi pelaksanaan inisiatif ini,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Alexander menyifatkan usaha yang dilakukan bersama kementeriannya itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana perlu melalui banyak proses.

“Ia termasuk daripada aspek teknikal, perundangan dan kewangan yang perlu diperhalusi dan diperjelaskan oleh semua pihak terlibat sebelum keputusan memulakan sistem pembayaran terbuka di lima lebuh raya pertama dapat dicapai.

”Syabas diucapkan kepada pasukan BPP atas usaha berterusan dan pantas. Segala inisiatif yang sedang diusahakan ini berpaksikan kepada satu tujuan, iaitu menyelesaikan masalah rakyat, selain memberikan kemudahan dan keselesaan kepada mereka,” ujarnya lagi.

Pada 21 Mac lalu, Alexander memaklumkan lebuh raya yang terlibat dengan kaedah MLFF adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) serta Jambatan Pulau Pinang.

Sistem itu disasar dapat dilaksanakan menjelang September depan.

Melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol untuk semua lebuh raya di negara ini dan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-dompet turut serta seterusnya tiada lagi monopoli oleh Touch ‘n Go.

Ini bermakna selain menggunakan Touch ‘n Go, pengguna juga dibenarkan membayar tol di lebuh raya menggunakan kad debit atau kredit mereka.

BACA JUGA: Selepas Touch ‘n Go, kerajaan hentikan pula monopoli Puspakom