Peratusan liputan air terawat belum mencapai sasaran

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan bahawa peratusan liputan air terawat untuk rakyat Malaysia belum mencapai sasaran.

“Merujuk kepada data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sehingga 2021, peratusan liputan perkhidmatan air terawat di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah 97%.

“Berdasarkan semakan, liputan perkhidmatan air bagi negeri Sarawak pada tahun 2022 adalah sebanyak 83.7% manakala liputan perkhidmatan air bagi Sabah adalah sebanyak 80% pada tahun 2021,” kata Nik Nazmi dalam jawapan bertulis kepada Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH).

Untuk mencapai sasaran 100 peratus, kementeriannya melakukan usaha berikut:-
i. peningkatan kualiti air terawat melalui pembinaan dan naik taraf loji rawatan air;
ii. usaha pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) dengan peruntukan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.907 bilion melalui Program NRW Kebangsaan dan pembiayaan pinjaman oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebanyak RM2.048 bilion kepada negeri-negeri yang telah memasuki penstrukturan bekalan air; dan
iii. menggalakkan negeri yang rakyat menggunakan air secara berhemah serta menggalakkan penggunaan alat cekap air.

Selain itu usaha kerjasama dengan kementerian lain turut dilaksanakan seperti berikut:

i. projek wakaf air iaitu satu mekanisme pendanaan alternatif dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia bagi membiayai projek bekalan air berskala kecil di kawasan luar bandar dan pedalaman.
ii. program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan program Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya ke kawasan pedalaman.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas ialah 98% menjelang tahun 2025.

BACA JUGA: Nik Nazmi berazam mahu selesaikan masalah air di Kelantan