Untung jadi Ustaz Pas, bebas berceramah di masjid, surau di Selangor

Walaupun pemimpin politik dilarang dari memberikan kuliah di Selangor tetapi ustaz-ustaz yang mempunyai jawatan di dalam Pas terus dapat memberikan kuliah di masjid dan surau di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan itu.

Bagi Ustaz Wan Ji Husein, ia adalah double standard yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana terus membenarkan mereka memberikan ceramah ketika larangan sudah dibuat oleh pekeliling sendiri.

Sedangkan, kata Wan Ji, beliau sampai sekarang masih belum diberikan tauliah untuk mengajar di masjid dan surau di Selangor walaupun mahkamah telah membuat keputusan, beliau tidak bersalah atas dakwaan memberikan kuliah tanpa tauliah.

“Untung jadi Ustaz Pas,” tulis Wan Ji yang menggunakan nama Herjunot Ali di dalam tulisannya.

Menurut Wan Ji, beliau telah mohon tauliah sejak bulan 10 tahun lepas. Lepas tu, awal bulan dua mohon tauliah lagi.

“Sudah interview, tetapi masih tidak mendapat jawapan sehingga hari ini,” tulis beliau menerusi facebook.

Sempena bulan Ramadan, katanya, ada beberapa buah masjid bertanya khabar untuk jemput tazkirah dan kuliah, “saya terpaksa tolak sebab tak dapat tauliah lagi.”

“Kalau Ustaz Pas pula, terlibat dengan politik secara langsung dan ditarik tauliah pun, mereka tetap hadir kuliah seperti biasa,” kata Wan Ji sambil melampir satu poster kuliah sepanjang Ramadhan yang dikeluarkan oleh sebuah surau di Selangor.

Posting yang dibuat Wan Ji dengan menyertakan satu jadual kuliah di sebuah surau di Selangor. Antara penceramahnya adalah Ketua Pemuda Pas Selangor.

“Dalam jadual di atas, ini berlaku di Selangor. Agak-agak, JAIS nak bertindak?

“Saya berharap JAIS tidak ambil tindakan,” kata Wan Ji lagi yang sebelum ini menjadi pengkuliah di surau berkenaan.

Namun, katanya, beliau dahulu diambil tindakan oleh JAIS dan hadapkan beliau ke mahkamah syariah.

“Sejak tahun 2014, tiga kali saya dihadapkan di mahkamah syariah Selangor dan sekali di Mahkamah syariah melaka. Saya dihadapankan di mahkamah syariah ini semasa kerajaan PH memerintah,” katanya.

Kalau tengok dari sudut itu, katanya, tuduhan Pas bahawa kerajaan PH ini anti ustaz-ustaz Pas itu tidak benar.

“Sebenarnya, orang macam saya ini yang kerajaan PH tak suka. Bukan era 22 bulan sahaja. Era kerajaan Perpaduan pun, sama juga,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 15 Februari 2023 lalu memutuskan penceramah agama, Wan Ji Wan Hussin tidak bersalah di atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

BACA JUGA Wan Ji tidak bersalah ajar agama tanpa tauliah, putus Mahkamah Syariah