Anwar berdukacita tak dapat temu Raja Salman
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini berdukacita kerana kerana tidak dapat mengadakan pertemuan yang dijadualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota.
Ini kerana jadual beliau padat dan dijadualkan untuk hadir di majlis iftar Yang di-Pertuan Agong esok dan diikuti dengan lawatan rasmi ke Kemboja.
Kepimpinan Arab Saudi telah melahirkan hasrat agar beliau memanjangkan kunjungan selama dua hari.
“Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhi, termasuk pertemuan yang dijdualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja,” katanya.
Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.
Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini.
Sepanjang lawatan rasminya, Anwar diiringi Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam.
Anwar juga menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman (MoU) melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi.
Ahli Parlimen Tambun dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program berbuka puasa bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah.
BACA JUGA: Lawatan PM ke Arab Saudi meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama dua hala