Kembalinya keyakinan institusi diraja kepada kerajaan

Penilaian tinggi yang dizahirkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar terhadap kredibiliti dan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri menunjukkan kembalinya keyakinan institusi diraja kepada reformasi pentadbiran yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan penilaian oleh Sultan Ibrahim itu pastinya memberikan respon positif dan baik untuk negara terutama hubungan di antara kerajaan persekutuan dan pihak istana.

Menurutnya, ianya sekali gus akan memudahkan lagi proses pentadbiran negara di mana penggiliran Sultan Ibrahim yang akan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh Belas bagi menggantikan tugas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang akan tamat pada Januari tahun hadapan.

“Saya rasa ialah hubungan yang baik itu sangat penting untuk mewujudkan suasana yang stabil dalam hubungan antara pihak pemerintah dengan pihak Majlis Raja-Raja.

“Sekiranya hubungan positif ini wujud, saya rasa ianya akan menstabilkan lagi keadaan dan kalau dilihat Sultan Ibrahim telah memberikan reaksi yang baik serta positif terhadap kedudukan Anwar Ibrahim,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hubungan yang terjalin ini akan membolehkan Anwar selaku Perdana Menteri untuk terus fokus membangunkan negara dan menyelesaikan isu-isu rakyat.

Mengulas lanjut, Azizuddin berkata kepimpinan Anwar secara langsung telah memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di negara ini dengan menjadikan Sultan Johor sebagai teladan.

“Saya rasa hubungan (pemimpin dan rakyat) adalah penting kerana datang daripada Tuanku Sultan Ibrahim sekiranya hendak lihat dalam konteks negeri Johor. Baginda sering bersama dengan rakyat.

“Sekiranya Anwar wujudkan perspektif yang merakyat di Johor, itu adalah sesuatu yang baginda suka,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berpandangan penilaian oleh Sultan Ibrahim itu pastinya dibuat berdasarkan pengalaman lalu baginda serta situasi semasa hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri, khususnya Johor berbanding sebelum ini.

Beliau berkata penilaian tinggi oleh Sultan Johor itu jelas menunjukkan corak pemerintahan yang ditonjolkan Anwar antaranya sedia berbincang dan mendengar pandangan dalam hal berkaitan kepentingan negara termasuk ketegasan dalam menentang rasuah diterima baik bukan sahaja oleh rakyat tetapi penerimaannya juga ‘meresap’ sehingga ke istana.

“Penzahiran oleh Tuanku Sultan Ibrahim ini pastinya berdasarkan kepada sifat Tuanku sebagai ketua negeri dan sultan bagi negeri Johor yang secara umumnya berperanan di dalam sistem federalisme, iaitu hubungan di antara Persekutuan dengan negeri.

“Dengan pengalaman luas dalam hal federalisme, sudah pasti kenyataan Tuanku Sultan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sudah berada pada satu trek yang begitu baik dan dilihat sebagai kerajaan yang mampu untuk memacu pertumbuhan serta kemajuan negara kembali ke landasan yang betul,” dia dipetik berkata oleh Bernama.

BACA JUGA: PM menghadap Sultan Johor, rasmi masjid dalam lawatan kerja singkat