Pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara boleh mohon pelanjutan

Pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara yang bekerja dalam tiga sub sektor tekstil, tukang gunting dan tukang emas boleh memohon pelanjutan pas tersebut, umum Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri untuk KDN mempertimbangkan agar pemegang PLKS sedia ada ketiga-tiga sub sektor tersebut yang akan tamat pada Mac 2023 untuk dilanjutkan,” kata Sivakumar merujuk kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan telah diadakan dengan Saifuddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Salahuddin Ayub mengenai pembukaan semula penggajian warga asing untuk tiga sub sektor tersebut.

Pengambilan pekerja untuk ketiga-tiga sub sektor tersebut telah dibekukan pada tahun 2009 dan ditutup sepenuhnya sejak tahun 2019.

Kelmarin, Sivakumar, dalam satu jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada V Ganabatirao (Klang-PH), menyatakan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ialah agensi kawal selia yang bertanggungjawab untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan pengambilan pekerja dalam subsektor perkhidmatan tukang gunting, tekstil dan tukang emas.

Isu pekerja di dalam tiga sub sektor di atas seringkali dibangkitkan di dalam media sosial sehingga ada pihak yang memberi naratif perkauman berkaitan perkara ini kerana sektor berkenaan didominasi oleh masyarakat India.

BACA JUGA: KPDNKSH bertanggungjawab luluskan pengambilan tukang gunting, tekstil dan tukang emas