Selangor: PH boleh kekal berkuasa tanpa parti Melayu Islam besar

Pakatan Harapan (PH) boleh mengekalkan kuasanya di Selangor tanpa kehadiran parti Melayu Islam yang besar berdasarkan prestasi dan keupayaan PH di negeri itu meskipun bertanding tanpa memerlukan Bersatu dan Pas.

Penganalisa politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kartini Aboo Talib berkata, meskipun tiada rakan kongsi parti Melayu yang besar, PH dilihat masih berpeluang mengekalkan penguasaan di negeri itu.

“Keterbukaan di Selangor secara umum, akan memperlihatkan PH masih boleh menang selesa walau tanpa Pas dan Bersatu dalam gabungan PH,” katanya memetik laporan sebuah laman berita.

Kini, PH dan BN Selangor sedang dalam proses dan seterusnya mengadakan mesyuarat rundingan mengenai pengagihan kerusi PRN di Selangor.

Menurut Kartini, BN tidak semestinya mendapat agihan kerusi yang banyak.

“Kalau pun diagih kepada UMNO/BN, ia tidak akan dijadikan alasan untuk pengerusi BN mengugut atau minta lebih kerusi. UMNO/BN berada dalam keadaan paling lemah buat masa ini,” katanya.

Pada masa yang sama, pemerhati politik veteran dan kolumnis Harapan Daily, Zin Mahmud dilaporkan berkata Perikatan Nasional (PN) sukar untuk menguasai Selangor kerana PH sudah menguasai kawasan campuran tetapi PN mempunyai peluang untuk menambah kerusi DUN.

Ketika ini, Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dengan komposisi 42 kerusi PH, lima kerusi BN, tujuh kerusi PN dan dua kerusi Pejuang.

Menurut Zin, Pas suatu ketika dahulu menang pilihan raya atas tambahan undi daripada penyokong PKR dan DAP.

“Begitu juga PKR dan DAP yang mendapat undi tambahan daripada penyokong Pas,” katanya.

Daripada 56 kerusi DUN di Selangor, 33 mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus, enam pula lebih 50 peratus Melayu manakala 17 kerusi berbaki adalah kerusi majoriti bukan Melayu.

Terdahulu, enam negeri sepakat membubarkan DUN pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

BACA JUGA: PH, BN Selangor sepakat kekal bertanding kerusi dimenangi PRU-14