‘Dah bulan puasa, hentikanlah adu domba’ – Fahmi

Lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac lalu, disifatkan sebagai mencapai objektif, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Katanya, beliau sendiri menjadi saksi apabila delegasi kerajaan diketuai Perdana Menteri bertemu dengan pelbagai pihak di sana seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dan delegasi OIC, di Makkah.

“Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Dr Muhammad Sulaiman Al Jasser, Presiden Islamic Development Bank (IsDB) dalam usaha untuk membawa masuk pelaburan ke Malaysia.

“Yang penting, Alhamdulillah bagi saya, lawatan itu mencapai objektif. Saya percaya hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi akan bertambah erat.

“Sekarang ini yang ingin mengadu domba, saya rasa hentikanlah. Kita dah masuk bulan puasa dan sekarang ini waktu untuk beribadat, bermuhasabah diri.

“Jadi, hentikanlah untuk cuba menimbulkan pertikaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah di Pusat Kerja dan Latihan Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebahagian murid di Parlimen Lembah Pantai riang menerima sumbangan sempena kembali ke sekolah.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan jemputan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia itu sebagai sesuatu yang sangat istimewa apatah lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan.

“Ini bagi saya satu permulaan yang baik dan kita kena ingat baru 100 hari lebih Perdana Menteri menggalas tanggungjawab, beliau telah dijemput ke Arab Saudi. Jemputan pula pada bulan Ramadan, bagi saya ianya sangat istimewa.

“Jemputan itu juga bukannya berlaku pada saat akhir. Kelulusan juga sudah diberi, dan kalau betullah kami tak ada perkenan, kami tidak akan dapat layanan seperti yang kami dapat tempoh hari di sana.

“Bagi saya, layanan itu sangat baik,” tambah Ketua Penerangan PKR itu lagi.

BACA JUGA Lawatan PM ke Arab Saudi: Apa isunya yang dikecohkan?