Gabungan PH+BN boleh menang bergaya di Selangor

Umno yakin gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menang di Selangor dengan bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, Perikatan Nasional (PN) hanya berpeluang untuk menang beberapa kerusi sahaja di negeri marginal seperti Selangor ini.

“Saya yakin PN akan ‘bungkus’ di negeri marginal seperti Selangor ini kalau pemimpin Pas menjadi ‘poster boy’ PN.

“Kalau KJ (Khairy Jamaluddin) jadi ‘poster boy’, adalah fight sikit tetapi untuk menang sukar, hanya ada peluang untuk menang beberapa kerusi.

“Tetapi, adakah KJ boleh menang kerusi yang dia tandingi? Itu pun belum tentu,” kata Lokman menerusi siaran Facebook Live beliau malam tadi.

Lokman yang baru menang sebagai Ahli MKT Umno mengulas pengumuman Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa PN sudah mengenal pasti calon-calon ‘poster boy’ mereka dalam PRN nanti.

Selain KJ, antara nama yang disebut sebagai bakal calon poster boy menteri besar untuk PN di Selangor ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Tan Sri Noh Omar.

Tambah Lokman lagi, bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa juga disebut-sebut bakal bertanding atas tiket PN dalam PRN nanti.

BACA JUGA Altimet amat bersedia bertanding PRN Selangor, tidak tolak jika tercalon