Lebih lajak dari laju, PN ditempelak isu lawatan Anwar ke Arab Saudi

Lebih lajak dari laju iaitu sembang tentang sesuatu secara berlebihan. Itu antara komentar orang ramai terhadap seorang pemimpin muda Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mengetuai jawatankuasa hal ehwal antarabangsa PN menjadi bahan sindiran warganet apabila mempersoal kegagalan Perdana Menteri bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman semasa lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini.

Pengguna Facebook, Abdul Razab Abdullah berpendapat Ketua Armada Bersatu Nasional berkenaan hanya memutar belit kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari itu.

“DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ikut jadual sebab perlu hadir majlis YDPA (Yang di-Pertuan Agong).

“(Tapi) dispin tak dilayan oleh Putera Mahkota Arab. (Kalau) Ditangguh akan dispin derhaka pada YDPA pula,” katanya di ruangan komentar hantaran Wan Ahmad Fayhsal.

Menerusi kenyataan media itu, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) tersebut turut meminta Anwar memberikan pendedahan penuh mengenai kos perjalanan termasuk butiran keselamatan dan anggota rombongan lain, kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, ada yang mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya membangkitkan soalan tersebut pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pada setiap Selasa yang akan dijawab sendiri oleh Anwar.

“Mohon ketua pembangkang atau (ahli Parlimen) Pagoh tanya sendiri masa PMQ,” kata Azwan.

Tidak kurang juga yang menyindir peranan PN sebagai pembangkang berwibawa dalam membawa suara rakyat ke Parlimen, selain memikul tugas semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Itulah aras PN. Sepatutnya, PN tanya PM apa perancangan tentang pembangunan dan ekonomi negara untuk lima tahun akan datang, baru dikatakan semak dan imbang.

“Ini soalan mengarut pula boleh ditanya,” bidas Iman Danial pula.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam kenyataan berkata, pemimpin pembangkang sengaja hendak memalukan PM dan bermain politik disebalik dakwaan kegagalan lawatan Anwar.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut telah memaklumkan bahawa beliau terpaksa menolak jemputan kerajaan Arab Saudi untuk melanjutkan lawatan memandangkan jadual mendatang yang agak padat.

BACA JUGA PM Anwar selamat tiba di Jeddah, buat lawatan rasmi ke Arab Saudi

Â