Pemuda AMANAH sindir Pas Kelantan rasmi jentera pilihan raya di sekolah

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Hisyamuddin Ghazali secara sinis menyindir tindakan Pas Kelantan yang dikhabarkan telah merasmikan jentera pilihan raya mereka di sekolah negeri berkenaan.

Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, menyifatkan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed lupa bahawa Pas membuat program parti politik di sekolah bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Pas rasmi jentera pilihan raya dalam sekolah boleh? Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) masuk sekolah bagi taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tak boleh?

“Sedap dia menyindir JKOM dan Menteri Pendidikan kononnya sibuk hingga lupa profesionalisme undang-undang dan membiarkan JKOM membuat program politik kepartian di Baling, Kedah melibatkan pelajar tingkatan enam.

“Padahal, program tersebut hanya melibatkan SPR dan ceramah motivasi oleh pakar motivasi sahaja. Langsung tidak melibatkan parti,” bidas beliau dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Syam Ghaz yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) menyifatkan, Pas kini terdesak sehingga mereka juga kelihatan ‘fobia’ dengan program rasmi daripada Kerajaan Pusat.

“Walhal, pendidikan demokrasi sangat diperlukan khususnya bagi golongan pengundi muda berumur 18 tahun, melibatkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ia supaya tidak terjadi situasi seperti pembayaran duit di Parlimen Marang, Terengganu yang kini dalam proses perbicaraan mahkamah sedangkan di Kelantan mereka menggunakan sepenuhnya sekolah YIK untuk program parti Pas.

“Contohnya, di bawah pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kubang Kerian di Dewan Maahad Taqaddum Maarif Pasir Tumboh oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Dato Ahmad Yaakob. Dalam dewan sekolah itu, penuh dengan bendera parti,” bidasnya lagi.

 

BACA JUGA LGBT: Pas diminta selesaikan masalah homoseksual di Kelantan