PRN: Rundingan PH-BN dijangka selesai menjelang Aidilfitri

Menjelang Aidilfitri bulan depan, rundingan berkaitan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka selesai.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, rundingan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan itu telah berlangsung semasa mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac lalu.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, semangat Kerajaan Perpaduan mesti ditunjukkan dalam enam PRN akan datang berbeza dengan strategi pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami sudah berbincang mengenai pembahagian kerusi dan ia akan dimuktamadkan pada pertengahan April. Proses rundingan masih berjalan pada masa ini sehingga April.

“Apa pun, kita tunggu sehingga rundingan selesai kerana ia bukan sahaja membabitkan gabungan Barisan Nasional (BN), tetapi ketika ini, ia lebih kompleks kerana ia membabitkan gabungan besar.

“Kita ada BN, kemudian kita ada Pakatan Harapan (PH) dan kita kena bincang secara baik, untuk menunjukkan kita memang Kerajaan Perpaduan,” dipetik BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sidang media selepas merasmikan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dekat Dewan Bukit Pagar di Tapah, hari ini.

Dalam hal berkaitan, Perikatan Nasional (PN) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi peringkat negeri yang membabitkan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata, agihan kerusi di peringkat negeri telah selesai hanya perubahan kecil di peringkat pusat akan dilakukan mengikut keperluan.

Pada PRU-15, enam negeri tidak membubarkan DUN iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tiga daripadanya masing-masing dikuasai PH dan Perikatan Nasional (PN) perlu mengadakan PRN paling lewat Ogos depan.

BACA JUGA PN pusat akan muktamadkan agihan kerusi PRN